Warga emas maut nahas kereta elak babi melintas
JEMPOL - Seorang peneroka Felda maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 11 Jalan Bahau-Rompin pada Ahad.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian lebih kurang jam 10 malam itu membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi ditunggang lelaki berusia 61 merupakan peneroka Felda Serting Hilir dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun.
"Berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan dalam perjalanan pulang dari arah Bahau ke Batu Pahat, Johor manakala mangsa dari arah Rompin hendak ke Bahau.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu kereta terbabit dipercayai cuba mengelak seekor babi yang tiba-tiba melintas menyebabkan kenderaannya masuk sedikit ke laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, pada masa sama, datang sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan lalu bergesel dan melanggar sisi kanan kereta sehingga menyebabkan mangsa jatuh dan terseret ke bahu jalan.
"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah untuk rawatan lanjut manakala pemandu kereta yang merupakan tukang masak tidak mengalami kecederaan.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggalkan dunia pada jam 3.15 pagi Isnin akibat pelbagai kecederaan susulan kemalangan. Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!