'Bekas 'warlord' UMNO jangan jadi langau, henti adu domba'
JOHOR BAHRU - Bekas-bekas 'warlord' yang masih dalam UMNO atau kini digantung parti perlu berhenti melakukan adu domba dan cuba mengelirukan ahli-ahli akar umbi tentang kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, serangan yang dilakukan bekas 'warlord' dan konco-konconya itu dilihat menikam parti secara dalaman yang tidak menguntungkan parti sebaliknya memberikan persepsi buruk.
"Mereka berterusan melakukan adu domba dan cuba mengelirukan ahli-ahli akar umbi tentang kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
"Ada yang tuduh UMNO sudah kena beli, ada yang kata UMNO sudah dicucuk hidung dan ada juga yang dakwa UMNO sudah ditundukkan oleh DAP.
"Mereka kata masa depan UMNO makin malap dan akan berkubur sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, tidak hairan kalau serangan itu datang dari pihak lawan, tapi pelik apabila ada bekas-bekas 'warlord' yang masih dalam UMNO atau digantung oleh parti pun turut melakukan serangan hendap terhadap pucuk pimpinan.
"Saya nak tanya apa yang untungnya bila kamu serang orang dan parti sendiri? Apa faedah yang kamu dapat bila kamu terus menggugat perpaduan ahli dan parti?
"Adakah kamu masih tak boleh terima kenyataan apabila hajat kamu untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tak tercapai sehingga kamu bencikan UMNO yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan," soalnya.
Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.
Pada Ahad, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menegaskan, UMNO tidak perlu menjadi jurucakap rasmi kepada parti lain.
Mengulas lanjut, Abdul Halim mahu kumpulan berkenaan yang masih kecewa dalam parti dan masih tidak dapat menerima realiti bahawa UMNO kini menjalinkan kerjasama politik dalam kerajaan Perpaduan supaya duduk diam dan tidak menimbulkan masalah.
"Jangan kerana sakit hati apabila hajat tak tercapai, kamu jadikan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya sebagai tempat lepas geram. Tindakan kamu itu tidak menguntungkan ahli-ahli dan parti tetapi berikan persepsi buruk di mata khalayak.
"Kalau tak boleh bantu parti baik duduk rehat saja. Kalau tak boleh jadi garam, jangan jadi langau yang rosakkan ikan," ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!