Bidaan nombor plat 'FF' RM34.2 juta, tertinggi dalam sejarah
KUALA LUMPUR - Bidaan nombor pendaftaran kenderaan bagi siri "FF” catat hasil kutipan tertinggi dalam sejarah sistem bidaan JPJeBid dengan kutipan berjumlah RM34.3 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, 34,032 orang menyertai bidaan itu, yang dibuka dari 14 hingga 19 Mei lepas, dengan 8,348 daripada mereka berjaya mendapatkan nombor plat siri berkenaan.
Beliau berkata, nombor plat yang mendapat bidaan tertinggi adalah FF8 dengan harga RM950,000, diikuti FF9 (RM911,999), FF3 (RM639,000) dan FF2 (RM638,000).
"Lima nombor yang mendapat minat paling tinggi adalah FF199 dengan seramai 34 pembida, FF51 dengan 32 pembida dan seterusnya FF155, FF555 dan FF1688 dengan masing-masing 29 pembida.
"Jumlah penglibatan pembida dan pemenang bagi siri FF ini juga merekodkan penyertaan tertinggi sejak aplikasi dalam talian JPJeBid dilancarkan pada 15 April 2019,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, di sini pada Isnin.
Anthony berkata, rebutan pembida begitu memberangsangkan sehingga menyebabkan sistem itu gagal Khamis lepas akibat trafik yang tinggi, memaksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melanjutkan masa bidaan selama 24 jam.
Beliau memohon maaf atas kesulitan dan mengakui bahawa terdapat perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran sistem itu.
Menjawab dakwaan bahawa tiga nombor dengan nilai bidaan tertinggi dimenangi oleh seorang individu yang sama seperti yang tular di media sosial, Loke berkata ia tidak menjadi masalah sekiranya benar kerana setiap pembida boleh membida sehingga tiga nombor dalam sesuatu siri.
"Selagi dia ikut peraturan dan membuat bidaan tertinggi, maka dia dapat (nombor plat). Kita tidak lihat kepada latar belakang pembeli,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!