Tun Mahathir tak bimbang tinjauan Merdeka Centre
PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad tidak begitu bimbang dengan hasil tinjauan Merdeka Centre baru-baru ini yang menunjukkan rating penerimaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan prestasi beliau sebagai Perdana Menteri telah merosot.
Sebagai kerajaan memerintah, Dr Mahathir berkata, PH memang menjangka ia akan dikritik dan kehilangan sedikit popularitinya.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR terima baik hasil kajian Merdeka Center
"Bila anda buat sesuatu, memang terdedah kepada kritikan, bila anda berada di pihak pembangkang apa yang anda lakukan ialah mengkritik, bila anda tidak berbuat apa-apa maka tiada apa yang hendak dikritik.
"Pilihan raya adalah berbeza, (semasa) pilihan raya (rakyat) akan membuat penilaian tepat tentang siapa yang layak untuk memerintah,” kata beliau ketika ditanya pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan di sini, hari ini.
Ditanya sama ada tinjauan itu akan mencerminkan Pilihan Raya Umum ke-15, Dr Mahathir berkata perkara itu masih berada jauh.
"Dalam pada itu kami akan lakukan banyak perkara. Ketika ini kami menghadapi kendalaan akibat salah laku kerajaan lepas,” kata Dr Mahathir.
Menurut hasil tinjauan Merdeka Centre itu, rating penerimaan kerajaan menurun ke tahap 39 peratus pada 11 Mac lepas daripada 79 peratus pada 31 Mei 2018, manakala prestasi Dr Mahathir dalam mentadbir negara juga menurun kepada 46 peratus daripada 71 peratus pada Ogos 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!