Ops Snakewood: Dadah RM3.2 juta dirampas

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis erimin 5 yang dirampas dalam Ops Snakewood membabitkan penangkapan seorang lelaki warga tempatan di Selayang, Selangor pada 18 Mei lalu. Foto: SINAR HARIAN/ Asril Aswandi Shukor

A
A
A

KUALA LUMPUR - Penahanan seorang lelaki warga tempatan yang menjual ikan akhirnya membongkar kegiataan pengedaran dadah dilakukannya sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan tiga serbuan dalam satu operasi khas, Ops Snakewood pada 18 Mei lalu dari jam 8.20 malam hingga 10.40 malam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama, pihaknya menangkap seorang lelaki tempatan di sebuah kondominium di Selayang, Selangor dan pemeriksaan pada tubuh badan suspek menemukan 10 biji pil ekstasi yang disembunyikan dalam beg silang

Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, serbuan kedua dilakukan dan berjaya merampas sejumlah dadah iaitu pil ekstasi serta pil erimin 5 dengan anggaran berat 20 kilogram (kg) yang dijumpai dalam but kereta jenis Mercedes Benz yang dipercayai milik suspek di tempat letak kereta dalam kondominium yang sama.

"Berpandukan suspek, JSJN Kuala Lumpur telah melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Batu Caves, Selangor yang dijadikan stor penyimpanan dadah pil erimin 5.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah pil erimin 5 dengan anggaran berat 57 kg dan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM3.2 juta," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Mohd Shuhaily menunjukkan pil ekstasi yang dirampas dalam Ops Snakewood membabitkan penangkapan seorang lelaki warga tempatan di Selayang, Selangor pada 18 Mei lalu. Foto: SINAR HARIAN/ Asril Aswandi Shukor

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, menerusi Ops Snakewood itu, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 250,000 orang penagih.

Menurut beliau, modus operandi kegiatan dadah tersebut adalah mendapatkan bekalan dadah dari luar negara dan menjadikan kenderaan mewah serta rumah kediaman sebagai stor simpanan, sebelum diedarkan untuk pasaran Lembah Klang.

Tambahnya, polis berjaya menyita harta suspek membabitkan wang tunai berjumlah RM21,000; kereta jenis Mercedes Benz dengan nilai semasa RM350,000 serta kereta jenis Produa Alza dengan nilai semasa RM40,000.

"Suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine, namun tiada rekod jenayah lampau," ujarnya.

Mohd Shuhaily (tengah) dalam sidang akhbar mengumumkan kejayaan JSJN Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah. Foto: SINAR HARIAN/ Asril Aswandi Shukor
Mohd Shuhaily (tengah) dalam sidang akhbar mengumumkan kejayaan JSJN Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah. Foto: SINAR HARIAN/ Asril Aswandi Shukor

Ditanya sama ada suspek mempunyai rangkaian kerja, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut ekoran suspek masih baru menceburi jenayah pengedaran dadah tetapi mempunyai jumlah dadah yang banyak.

Selain itu, Mohd Shuhaily berkata, suspek turut dipercayai memiliki rumah jenis banglo di sebuah tanah lot di Batu Caves.

"Kita percaya, lebih banyak harta suspek akan disita apabila siasatan lanjut dilakukan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!