RUU Hotel Perak dibentang ganti Enakmen Rumah Tumpangan

Sandrea semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023.
Sandrea semasa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak pada Isnin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 yang telah lapuk.

RUU berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Sandrea berkata, penggubalan enakmen baharu itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi pelesenan dan pengawalan hotel di negeri ini.

Menurutnya, langkah itu berikutan perkembangan positif negeri Perak yang menerima semakin ramai pengunjung setiap tahun selain pembangunan pesat kemudahan penginapan seperti hotel, chalet dan resort.

"RUU yang dicadangkan ini mengandungi 32 fasal peruntukan yang dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu permulaan, perlesenan, penguat kuasaan, pelbagai serta pemansuhan dan peralihan.

"Penggubalannya akan membuka seluas-luas peluang kepada semua pengusaha hotel dan rumah tumpangan, chalet, rumah-rumah rehat, khemah dan houseboat yang sebelum ini tidak dapat didaftarkan untuk mendapat lesen hotel pihak berkuasa.

"Bukan itu sahaja, peruntukan-peruntukan yang dibuat dapat menambah baik kawal selia dan operasi bagi menjamin keseragaman kualiti keselamatan dan kebersihan serta memastikan kelancaran pembangunan," katanya.

Beliau berkata, sebaik cadangan itu dipersetujui kerajaan negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Jun 2022, gerak kerja penggubalan dilakukan melibatkan semua pihak berkepentingan negeri.

Katanya, sesi libat urus melibatkan 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) selain perbincangan dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Tourism Perak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk persatuan pelancongan dan penggiat industri perhotelan.

"Maka, RUU yang dibentangkan hari ini adalah sebuah dokumen yang telah melalui proses perbincangan matang dan mendalam dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang pemegang taruh dalam industri perhotelan di Perak," katanya.

Sandrea turut menjelaskan, RUU tersebut tidak akan melibatkan sebarang perbelanjaan wang tambahan kepada kerajaan negeri.

"Keperluan menyediakan RUU ini sangat jelas dan bertepatan bagi memulihkan ekonomi rakyat tempatan.

"Semua penggiat industri dan peniaga kecil akan menerima impak langsung daripada pengurusan industri pelancongan yang lebih seragam dan selamat hasil daripada tadbir urus yang berkesan," katanya.

Seramai 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut dengan sembilan daripadanya penyokong kerajaan dan 14 pembangkang.

Pengundian RUU tersebut akan dilakukan secara undian suara majoriti semasa Persidangan Dewan Negeri pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!