'Utama parti komponen BN, bukan DAP' - MCA

Datuk Chong Sin Woon
Datuk Chong Sin Woon
A
A
A

SHAH ALAM - MCA mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjaga kepentingan dan mengutamakan parti gabungan itu terlebih dahulu, bukan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, Ahmad Zahid perlu berpegang kepada prinsip dan berhati-hati dalam segala perkara berkaitan hubungan atau kerjasama antara BN dan PH.

"Kerjasama antara BN dan PH perlu ada timbal balas dan menguntungkan kedua-dua pihak," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sin Woon turut menegaskan bahawa sebarang pendirian dan pandangan daripada MCA mestilah dibuat oleh pemimpin mereka, khususnya presiden parti, Datuk Seri Wee Ka Siong dan bukan pihak lain.

Sebelum itu, media melaporkan, Presiden UMNO, Ahmad Zahid mendedahkan parti itu berdepan tugas sukar untuk ‘memujuk’ ahlinya menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama diperingkat persekutuan menerusi Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara UMNO dengan parti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!