KPKT minta JBPM Johor sediakan laporan

zuraida
zuraida
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta menyediakan laporan keperluan peruntukan bagi proses menyelenggara kuarters bomba yang tidak dapat digunakan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat 54 unit kediaman anggota bomba yang tidak dapat digunakan kerana mengalami masalah ketika pembinaannya dibuat.

Sehubungan itu, katanya, laporan terbabit amat diperlukan bagi mengenal pasti anggaran nilai peruntukan yang boleh disalurkan kementerian bagi melaksanakan kerja-kerja itu.

"Kami kenal pasti terdapat 54 unit rumah, jadi saya mahu pengarah (Bomba Johor) untuk berikan saya anggaran peruntukan yang diperlukan untuk menyempurnakan rumah ini.

"Rumah ini bukan rosak, cuma ketika pembinaannya pemaju yang dilantik tidak boleh lakukan kerja kerana bukan berada dalam skop dia, menurut laporan juga kerja-kerja perlu dilakukan ini adalah kerja tambahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerjanya di Kompleks Kuarters Bomba Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Zuraida berkata, penyaluran peruntukan untuk kerja-kerja itu juga adalah kerana tidak mahu ada aset kerajaan yang perlu dibazirkan.

Artikel Berkaitan:

"Kuarters ini boleh memberikan manfaat kepada semua anggota kita, jadi sayang jika ia dibiarkan kosong dan dibazirkan.

"Masih ramai yang memerlukannya jadi perkara ini perlu ditangani dan kementerian akan membantu sebaik mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!