Zahidi hantar borang keahlian tapi bukan Pas, PN

Datuk Zahidi Zainul Abidin
Datuk Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KANGAR - Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan telah menghantar borang keahlian untuk memohon menyertai sebuah parti, namun bukan Pas.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, parti yang dimohon untuk disertainya juga bukan parti yang berada di dalam Perikatan Nasional (PN) mahupun yang menyokong gabungan tersebut.

"Memang saya ada memohon untuk menyertai sebuah parti tapi bukan Pas mahupun parti di dalam PN.

"Saya sedang menunggu keputusan permohonan untuk menyertai parti itu dan mungkin akan diketahui tidak lama lagi selepas mengadakan pertemuan dengan presiden parti tersebut sebelum ini," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata demikian mengulas khabar angin nama beliau antara dikaitkan dengan lebih 10 nama bekas pemimpin UMNO yang bakal menyertai Pas dan PN.

Zahidi berkata, parti yang dimohon untuk disertainya itu berada di dalam gabungan Pakatan Harapan.

Beliau menjelaskan tidak mempunyai masalah untuk memberikan khidmat kepada rakyat biarpun perlu kembali bekerjasama dengan UMNO yang memecatnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-16, Zahidi yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO menyaksikan beliau bertanding atas kapasiti calon Bebas namun kalah.

Pada 18 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa adalah antara lebih 10 bekas pimpinan UMNO yang sudah mengisi borang permohonan menganggotai parti Pas.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menunjukkan minat untuk menyertai parti Bersatu.

Takiyuddin memaklumkan kesemua bekas pimpinan UMNO terbabit akan turut dipertimbangkan untuk diberikan tempat sekiranya mereka menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!