Hampir dua juta mohon masuk perkhidmatan awam
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) merekodkan 1,960,261 permohonan bagi mengisi kekosongan perkhidmatan awam sepanjang tahun 2022 sehingga 11 Mei lalu.
Bagaimanapun Pengerusinya, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, jumlah pengambilan hanya melibatkan 26,436 jawatan.
Beliau berkata, pada tahun lalu, 20,762 orang berjaya dilantik daripada 1,279,494 permohonan manakala pada tahun ini pula sejumlah 680,767 permohonan dengan sebanyak 5,674 calon berjaya memperoleh jawatan.
"Daripada jumlah permohonan itu, lebih 70 peratus adalah dalam kalangan Melayu, manakala Cina hanya 1.2 peratus dan India 3.1 peratus," katanya pada majlis SPA bersama media di sini hari ini.
Zainal berkata, jumlah lantikan tetap yang diambil meningkat sejak tahun 2020 iaitu sebanyak 15,518 orang dan pada tahun 201 sebanyak 15,755 orang, manakala jumlah lantikan kontrak bagi Pegawai Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Jawatan Separa Perubatan adalah sebanyak 9,952 (2020), 8,750 (2021) dan 16,878 (2022).
"Bagi lantikan kontrak bagi jawatan-jawatan lain pula sebanyak 4,600 jawatan diisi bagi tahun 2020, 16,472 (2021) dan 10,285 (2022)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, SPA membangunkan sistem digitalisasi pada peringkat proses pengambilan bagi menepis tanggapan kabel yang sering dikaitkan dengan suruhanjaya itu.
"SPA sudah mengaplikasikan digitalisasi sepenuhnya bagi sistem permohonan dalam talian iaitu SPA9 yang mewajibkan semua proses permohonan melalui tiga peringkat penilaian sebelum dipanggil temu duga," ujar beliau.
Zainal berkata, bagi peringkat sesi temu duga pula, SPA menetapkan dua anggota panel dilantik sama ada dalam kalangan suruhanjaya sendiri atau jabatan.
"Panel itu disyaratkan wajib melalui tapisan integriti dan menandatangani aku janji sekali gus menutup ruang yang dipercayai boleh menggunakan orang dalam," katanya.
Tambah beliau, semua orang bebas untuk memohon dan mematuhi syarat dan yang meluluskan adalah secara automatik melalui sistem, sehingga peringkat temuduga.
"Semua pihak di SPA membuat aku janji tidak ada kabel seumpama ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!