'Kehangatan' LIMA '23 luar biasa

Sekitar sesi latihan pertunjukan udara oleh pempamer dari seluruh dunia yang menyertai LIMA'23 di ruang angkasa pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada Isnin. - Foto: Bernama
Sekitar sesi latihan pertunjukan udara oleh pempamer dari seluruh dunia yang menyertai LIMA'23 di ruang angkasa pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Walaupun keadaan cuaca di pulau pelancongan ini hujan di sebelah pagi sejak beberapa hari lalu namun 'kehangatan' menjelang berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) tetap dirasai.

Tinjauan Bernama di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, antara venue utama untuk LIMA ‘23, mendapati persiapan pameran itu berjalan lancar dengan pempamer tempatan dan antarabangsa mula membawa masuk replika aset dan peralatan pertahanan serta aeroangkasa di ruang pameran berkeluasan kira-kira 20,000 meter persegi itu.

Pengarah Eksekutif Alpine Solutions Sdn Bhd (Alpine), Muhammad Aqlan Pacleb berkata, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan beberapa delegasi berpuas hati dengan persiapan LIMA ’23 ketika melakukan tinjauan di lokasi pameran pada Isnin.

Selaku penganjur LIMA ’23, Muhammad Aqlan berkata, pihaknya turut mendapat maklum balas positif daripada semua pihak terlibat dengan menyifatkannya 'lain daripada lain'.

"Saya berpeluang jumpa dengan penduduk tempatan, pempamer dan stakeholders seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Maritim yang mengakui bahawa penganjuran LIMA kali ini lain daripada lain,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Bagi memastikan perjalanan LIMA '23 kali ini lancar dengan keadaan cuaca tidak menentu, Muhammad Aqlan berkata, pihaknya akan melakukan sedikit perubahan daripada segi jadual bagi pertunjukkan udara atau maritim.

"Kalau cuaca tak mengizinkan (hujan), bagaimanapun kita akan teruskan program cuma ada perubahan sedikit, contohnya pertunjukkan aerobatik akan diubah waktu seperti daripada dua kali persembahan (dijadualkan) ia mungkin dipanjangkan waktunya mengikut kesesuaian cuaca," katanya.

ATM sebelum ini mengesahkan lima negara akan menyertai pasukan aerobatik pada pertunjukan udara iaitu Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia.

Polis Maritim melakukan demonstrasi menggunakan bot ronda Watercat M14 sempena LIMA ‘23 di Resort World Langkawi pada Isnin.- Foto: Bernama
Polis Maritim melakukan demonstrasi menggunakan bot ronda Watercat M14 sempena LIMA ‘23 di Resort World Langkawi pada Isnin.- Foto: Bernama

LIMA ‘23 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ akan bermula esok hingga 27 Mei, dengan pameran berkaitan aeroangkasa diadakan di MIEC manakala segmen maritim di Resort World Langkawi.

Pameran edisi kali ini melibatkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (bagi Industri Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Komersial).

Kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan ialah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!