Dua ditahan, hantar ganja guna bekas kacang, kuih raya
JOHOR BAHRU – Helah sindiket pengedaran dadah menyembunyikan ketulan ganja mampat dalam bekas kacang dan biskut raya dipercayai untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran terbongkar selepas dua individu berjaya ditahan di dua lokasi di sekitar bandar raya ini pada 11 April lalu.
Pengarahnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Misbahudin Parmin berkata, susulan penahanan dua lelaki warga tempatan itu, pihaknya merampas 24 kilogram (kg) dadah yang dianggarkan bernilai RM82,874.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah pejabat syarikat penghantaran dan pihaknya berjaya merampas sembilan bungkusan dadah dipercayai untuk dibawa keluar dan pemeriksaan lanjut turut menemui 10 ketulan mampat disyaki ganja dalam bekas lut sinar yang mengandungi kacang dan biskut raya.
“Dalam serbuan pertama, pihak JKDM telah menahan seorang lelaki (suspek pertama) yang menghantar bungkusan-bungkusan berkenaan dan dalam serbuan kedua, pihak JKDM menahan seorang lagi lelaki (suspek kedua), yang juga penghuni rumah kediaman di situ bagi membantu siasatan.
"Mereka ambil kesempatan musim raya ini, letak dadah dalam bekas kuih raya...dan dadah yang diletakkan itu dikenal pasti jenis ganja,” katanya pada sidang media di Menara Kastam pada Isnin.
Siasatan lanjut mendapati suspek pertama negatif dadah sementara suspek kedua pula positif.
Katanya, kedua-dua suspek berkenaan telah direman selama 10 hari dan telah dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) di Mahkamah Majisret Johor Bahru pada 20 April lalu.
"Kes disiasat bawah Seksyen 39B (1)(a) ADB 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidpup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.
Selain itu, pihak JKDM Johor turut merampas sebanyak 5,502 liter dalam 7,242 tin/ botol minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis tempat penyimpanan minuman keras belum lulus di sebuah kawasan perindustrian, di Gelang Patah.
Katanya, kesemua minuman keras dianggarkan bernilai sebanyak RM230,000 dan jumlah duti serta cukai terlibat adalah sebanyak RM167,000.
“Kita dapati modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis di kawasan industri sebagai tempat penyimpanan minuman keras yang belum lulus kastam yang dipercayai diimport dari luar negara,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.
Sementara itu Misbahudin berkata, pihak JKDM turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun bagi membantu siasatan atas cubaan menyalahgunakan kemudahan borang kastam 8 (K8) dan mengakibatkan ketirisan cukai bernilai RM38,000.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan kemudiannya dilepaskan bawah Seksyen 116(5) Akta Kastam.
Hasil maklumat daripada risikan zon selatan pada 5 Mei lalu, sepasukan anggota JKDM dari Bahagian Penguatkuasaan Kastam Gelang Patah, Johor telah menyita satu kontena (40 kaki) dengan muatan mangkuk tandas di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
Katanya, kontena berkenaan akan dipindahkan dari Stesen Penghantar Pelabuhan Tanjung Pelepas ke Stesen Penerima, GBA di Nilai, Negeri Sembilan.
“Hasil pemeriksaan silang ke atas dokumen pengikraran borang Kastam 8 dagangan yang diikrar adalah sanitary ware, tidak sama dengan muatan yang terdapat di dalam kontena.
“Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah menggunakan kemudahan Borang Kastam 8 (K8) iaitu pemindahan dagangan tanpa dikenakan cukai dan duti ke Gudang Berlesen Awam (GBA) bagi tujuan mengaburi pandangan pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan duti import dan keperluan permit," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(c) Akta Kastam 1967 iaitu yang terlibat dalam memindahkan apa-apa barang tidak berkastam atau apa-apa barang larangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!