NEC fokus 3 komponen tangani isu pengangguran, pekerja asing
KUALA LUMPUR - Majlis Pekerjaan Negara (NEC) akan terus memberikan fokus kepada tiga komponen utama bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan, memastikan kadar upah yang bersesuaian, kebergantungan tenaga kerja asing dan sebagainya.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri melalui satu kenyataan memaklumkan komponen utama tersebut adalah penciptaan pekerjaan; program penempatan, latihan dan meningkat kemahiran serta menangani isu-isu struktural pasaran buruh.
Menurutnya, bagi tahun ini, NEC telah mengenal pasti 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 Agensi Pelaksana dan dipantau secara aktif oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang bertindak sebagai Sekretariat NEC.
Selain itu, tambahnya, 12 daripada 32 fokus inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Penciptaan Pekerjaan Nasional akan turut mula dilaksanakan dalam usaha menangani isu struktur pasaran buruh.
"NEC juga bersetuju dengan sasaran sebanyak 119,964 penciptaan pekerjaan yang akan direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik bagi 2023," katanya pada Isnin.
Mesyuarat NEC tersebut berlangsung di Parlimen pada Isnin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai kedudukan pasaran buruh pada suku pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada masa sama, ia turut membincang berkenaan tiga kertas pembentangan iaitu berkaitan pindaan Akta Kerja 1955 oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), hasil dapatan Persidangan Kurikulum Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pengenalan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi (KE).
"Berdasarkan komitmen serta perpaduan yang ditunjukkan semua pihak yang terbabit, kerajaan yakin strategi digariskan NEC akan dapat meneruskan momentum dalam memperkasa ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.
"Selain itu, kerajaan memandang serius isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.
"Kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dengan menyasarkan penawaran peluang pekerjaan melalui inisiatif dibawa kerajaan," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, NEC akan terus memberi penekanan dalam memastikan setiap keputusan Majlis dan inisiatif pekerjaan dipantau rapat pelaksanaannya bagi memastikan keberhasilan yang optimum dapat dicapai.
"Dalam hubungan ini, sekretariat yang diterajui LAKSANA harus terus memainkan peranan untuk memantau, menilai dan mencadangkan langkah intervensi yang bersesuaian bersama-sama Agensi Pelaksana untuk dilapor dan dipertimbangkan oleh Majlis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!