Kaki budak tiga tahun tersepit di eskalator pusat beli-belah
KLUANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berjaya diselamatkan setelah kakinya tersepit di tangga bergerak eskalator di sebuah pusat beli-belah, Kluang Mall, di sini, pada Ahad.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Noorhakim Nordin, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara berkenaan sekitar 3.47 petang.
“Sebaik mendapat panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang dengan kekuatan seramai sembilan anggota dihantar ke lokasi.
“Sejurus tiba ke Kluang Mall, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kaki mangsa tersepit di eskalator berkenaan.
“Mangsa sebelum itu berjaya diselamatkan oleh pengawal keselamatan di situ sebelum PKO tiba ke lokasi,” katanya.
Tambah Mohd Noorhakim, operasi berkenaan ditamatkan sekitar 3.55 petang.
Terdahulu tular di media sosial, facebook Aku Budak Kluang berhubung insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!