Tiga warga Thailand mengaku seludup diesel di Bukit Kayu Hitam

Ketiga-tiga warga Thailand itu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah menyeludup diesel pada Isnin.
Ketiga-tiga warga Thailand itu dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku bersalah menyeludup diesel pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga lelaki warga Thailand didenda Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin selepas masing-masing mengaku bersalah menyeludup minyak diesel bersubsidi dari negara ini ke Thailand di Bukit Kayu Hitam pada April lalu.

Sakda Thaenkeson, 24, didenda sebanyak RM27,000; Kittisak Thongluean, 37, didenda RM30,000 dan Phanuphong Yava, 23, pula didenda RM28,000 oleh Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Jika gagal bayar, mahkamah memerintahkan ketiga-tiganya menjalani hukuman penjara masing-masing tujuh bulan serta lapan bulan manakala pertuduhan pula dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Thailand.

Berdasarkan pertuduhan, Sakda meletakkan bahan api diesel dalam tangki kenderaan Toyota Hilux bagi tujuan dibawa keluar dari Malaysia melalui darat yang melebihi kuantiti berjumlah 53 liter dalam tangki kenderaan itu untuk ke Thailand.

Dia didakwa melakukannya di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu jam 11 pagi pada 11 April lalu.

Pegawai KPDN Kedah mengiringi ketiga-tiga warga Thailand yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh pada Isnin.
Pegawai KPDN Kedah mengiringi ketiga-tiga warga Thailand yang dibawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh pada Isnin.

Kittisak pula dituduh melakukan perbuatan sama dalam kenderaan Isuzu Dmax yang juga melebihi kuantiti iaitu berjumlah 72 liter di ICQS Bukit Kayu Hitam jam 11.50 pagi pada 13 April lalu.

Seorang lagi tertuduh, Phanuphong dituduh melakukan perbuatan sama dalam kenderaan Chevrolet Colorado yang melebihi kuantiti iaitu berjumlah 61 liter di Lorong 2, Pos Imigresen Bukit Kayu Hitam di ICQS Bukit Kayu Hitam jam 11 pagi pada 11 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan ketiga-tiga kenderaan bersama diesel yang dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dan kemudiannya dijual masing-masing dengan hasil jualan RM113.95, RM154.80 dan RM131.15 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan kes telah dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Hezrin Abdul Wahab dan Muhamad Saiful Saaidin.

Kittisak diwakili peguam Mohd Khairul Hafizuddin Ramli manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!