'Hanya mampu beri hadiah durian kepada cikgu'

Tangkap layar Khair Al Mysurah membawa hadiah durian kepada Nurul Maizatul yang tular di aplikasi TikTok
Tangkap layar Khair Al Mysurah membawa hadiah durian kepada Nurul Maizatul yang tular di aplikasi TikTok
A
A
A

MUAR – Hadiah buah durian yang diterima sempena sambutan Hari Guru 2023, pasti menjadi memori indah yang sukar dilupakan buat seorang guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Kampung Parit Jamil di sini, Nurul Maizatul Shafinaz Ahmad, 31.

Biarpun sering menerima hadiah produk pertanian daripada penduduk di kampung berkenaan, namun hadiah buah durian yang diterima daripada salah seorang anak muridnya, Khair A.Maysurah Azman, 5, kali ini dilihat agak ‘unik.’

“Sudah enam tahun saya mengajar di sini, tapi saya memang tidak menyangka dapat ‘hadiah’ macam ni...tambah pula dapat hadiah ni pada sambutan Hari Guru kali ini.

“Inilah first time (kali pertama) saya dapat hadiah durian ni..memanglah tabika tempat saya mengajar ni di kawasan kampung dan aktiviti ekonomi di sini lebih kepada pertanian.

“Mula-mula tu terkejut jugaklah..sebab pagi tu mak budak ni kata nak bagi hadiah, nanti hantar ke tabika..tak sangka pula ‘ini’ hadiahnya.. rasa terharu dan seronok sangat...terima kasih,” katanya kepada Sinar Harian.

Dua biji buah durian yang diterima Nurul Maizatul sempena Hari Guru.
Dua biji buah durian yang diterima Nurul Maizatul sempena Hari Guru.

Kisah Nurul Maizatul menerima hadiah durian sempena sambutan Hari Guru itu tular di media sosial.

Rata-rata netizen memberikan pendapat masing-masing mengenai ‘hadiah’ istimewa (durian) yang diterimanya itu.

Tambah Nurul Maizatul, dia menerima dua biji durian sementara pembantunya menerima sebiji durian sempena Hari Guru kali ini.

Menurut ibu seorang anak itu lagi, dia menggemari buah durian apatah lagi menerima durian dengan isinya yang digelar ‘kucing tidur.’

“Saya memang suka makan durian, dapat pula isi ‘kucing tidur’ macam ni..sebelum ni dapat hadiah biasa macam bunga, coklat, sebab kami di sini tak ada buat sambutan Hari Guru semua tu, cuma murid-murid digalakkan untuk ingat dan hargai cikgu dengan berikan hadiah.

“Kebetulan, sejak beberapa bulan lalu saya membawa dan menghantar Khair Al Maysurah ke sekolah dan pulang ke rumah. Kereta bapanya masih rosak dan belum dibaiki lagi.

“Sebab itulah bila ibunya bagitau ada hadiah hari guru untuk saya dan beritahu mereka hanya dapat bagi buah durian, saya memang rasa sangat terharu,” katanya.

"Saya juga membawa kanak-kanak itu ke Tabika dan turut menghantar pulang ke rumah selepas tamat kelas setiap hari sejak beberapa bulan lalu kerana rumahnya agak jauh dan kebetulan kereta bapanya rosak, (dan) belum dibaiki.

"Apabila ibu Khair Al Maysurah beritahu ada hadiah Hari Guru untuk saya dan cakap mereka hanya boleh beri itu (durian), saya sangat terharu. Mereka bukanlah orang berada dan mengambil upah menjaga kebun saudara saja," katanya.

Sementara itu, Nurul Maizatul yang juga pemegang Diploma Pendidikan Pra Sekolah dari Kolej Imuniti Negeri Sembilan berkata, dia memang berhasrat menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Malah menurut anak kelima daripada enam beradik ini lagi, mungkin bidang yang akan diambil nanti dalam bidang pendidikan juga.

“Saya memang nak further (lanjutkan) lagi pengajian, tapi tak tahu bila dan sekarang saya nak fokus kepada tugas-tugas mengajar di Tabika ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!