Peniaga dikompaun RM500, jual gula RM11 untuk 3kg

Anggota KPDN Kedah melakukan serbuan di sebuah perniagaan di kawasan Tunjang di Kubang Pasu kerana menjual gula pasir putih bertapis kasar melebihi harga maksimum.
Anggota KPDN Kedah melakukan serbuan di sebuah perniagaan di kawasan Tunjang di Kubang Pasu kerana menjual gula pasir putih bertapis kasar melebihi harga maksimum.
A
A
A

KUBANG PASU - Tindakan seorang peniaga kedai runcit menjual gula timbang pada harga RM11 bagi tiga kilogram gula tersebut sejak seminggu lalu membawa padah apabila dikompaun RM500 dalam serbuan di Tunjang, dekat sini pada Isnin.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan dilakukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kubang Pasu pada jam 11.30 pagi ke atas premis itu yang disyaki menjual gula pasir putih bertapis kasar melebihi harga maksimum.

Katanya, peniaga itu menjual gula pasir pada harga RM11 bagi 3 kg yang mana ia sudah melebihi harga maksimum ditetapkan untuk barang kawalan.

Menurutnya, harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan harga terkawal RM2.77 bagi harga borong dan harga runcit RM2.85 bagi satu kg gula pasir putih bertapis kasar.

"Tindakan kes telah diambil dengan mengeluarkan kompaun sebanyak RM500 ketika serbuan dilakukan dan ia telah dijelaskan.

"Premis perniagaan berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 iaitu Pelanggaran Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penetapan Harga Maksimum) bagi gula pasir bertapis kasar dan halus.

"Kerjasama pengguna dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan," ujar beliau lagi.

Tambahnya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088 / 6245.

Aduan juga boleh dilakukan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau secara atas talian http://eaduan.kpdn.gov.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!