Tiket konsert Coldplay jadi mas kahwin

Klip yang memaparkan acara akad nikah tersebut kini menjadi tular di media sosial. - Foto Agensi
Klip yang memaparkan acara akad nikah tersebut kini menjadi tular di media sosial. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Demam Coldplay yang melanda Malaysia juga sedang menyerang peminat kumpulan rock alternatif itu di negara seberang setelah sebuah klip menunjukkan tiket konsert mereka dijadikan sebagai mas kahwin menjadi tular pada Ahad.

"Saudara saya diberikan mas kahwin berupa tiket Coldplay. Pernikahannya disokong Chris Martin," menurut ciapan dikongsi pemilik akaun, @rhfndtaaa yang turut disertakan emoji wajah tertawa.

"Saya nikahkan dan saya kahwinkan anak kandung saya, Anastasya Ayu Widiadana kepada engkau dengan mas kahwin logam berharga 21 gram, sepersalinan alat solat dan tiket Coldplay dibayar tunai," ujar wali yang merupakan bapa pengantin perempuan menerusi video yang dikongsikan tersebut.

Bagaimanapun, tidak diketahui lokasi sebenar dan tarikh majlis itu berlangsung.

Klip itu juga dikongsi akaun @IDWantsColdplay dan mengundang pelbagai reaksi melucukan pengguna media sosial dan kebanyakannya berseloroh jika konsert itu dibatalkan secara tiba-tiba.

Difahamkan, kebanyakan peminat kumpulan rock popular dari Britain itu gagal mendapatkan tiket konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 15 November depan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!