Meta didenda 1.2 bilion euro

Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) melancarkan siasatan sejak 2020. - Foto Agensi
Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) melancarkan siasatan sejak 2020. - Foto Agensi
A
A
A

DUBLIN - Gergasi teknologi, Meta didenda 1.2 bilion euro (RM5.9 bilion) kerana memindahkan data pengguna di Kesatuan Eropah (EU) ke Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu dibuat pengawal selia Ireland pada Isnin merujuk kepada kes pelanggaran peraturan privasi dilaksanakan blok berkenaan yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) yang bertindak bagi pihak EU memaklumkan mereka dipertanggungjawabkan oleh Lembaga Perlindungan Data Eropah (EDPB) untuk mengutip denda pentadbiran tersebut.

DPC telah melancarkan siasatan terhadap isu pemindahan data peribadi itu sejak 2020.

"Laporan siasatan mendapati Meta yang mempunyai ibu pejabat di Dublin gagal mengendalikan risiko hak asas dan kebebasan subjek data yang dikenal pasti menerusi keputusan dibuat Mahkamah Kehakiman EU (CJEU)," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Hal Ehwal Global Meta, Nick Clegg dan Ketua Pegawai Undang-undang, Jennifer Newstead menerusi kenyataan di blog memberitahu mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Difahamkan, ia merupakan denda ketiga dikenakan ke atas Meta di EU pada tahun ini.

Sebelum ini, pengawal selia EU pernah mendenda Meta sebanyak ratusan juta euro atas pelanggaran data perkhidmatan Instagram, WhatsApp dan Facebook.

Pada 2021, Amazon didenda 746 juta euro (RM3.7 bilion) di Luxembourg kerana melanggar Peraturan Perlindungan Data Am di blok tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!