Adib tidak sabar berlumba di kampung halaman

Adib bertekad meraih keputusan positif pada Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 di Bandar Jasin Bestari, Bemban hujung minggu ini.
Adib bertekad meraih keputusan positif pada Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 di Bandar Jasin Bestari, Bemban hujung minggu ini.
A
A
A

PELUMBA Bad Lab Honda KC Racing, Md Adib Hareez Hazwat bertekad meraih keputusan positif kategori Wira KBS apabila Pusingan Ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 menyingkap tirai di Bandar Jasin Bestari, Bemban hujung minggu ini.

Pada musim lepas, pelumba yang berasal dari Melaka ini telah beraksi untuk Honda AFB Tech Racing.

Pencapaiannya secara keseluruhan tidak begitu memuaskan lebih-lebih lagi dengan status ‘DNF’ dalam lima pusingan yang telah menggugat mata keseluruhannya.

Namun begitu, musim ini bermula dengan nada positif apabila dia tampil dengan aksi hebat di kedua-dua pusingan di Litar Sepang Antarabangsa dan Litar Seri Jempol.

Pelumba jentera Honda ini jelas telah kembali dengan suatu perubahan baharu dan kelihatan lebih yakin dengan pengendalian jenteranya.

Dia yang menduduki tempat kedua secara keseluruhan pada masa kini hanya kekurangan tiga mata daripada pelumba di tangga teratas.

Pusingan yang bakal berlangsung di kampung halamannya mungkin memberikan Adib kelebihan menguasai litar Jasin sekaligus membuka peluang menaiki carta keseluruhan.

“Pada pendapat saya, pusingan 1 dan 2 memang agak baik bukan setakat pencapaian tetapi lebih penting, saya berjaya menyesuaikan diri dengan jentera baru.

“Bagaimanapun, saya perlu lebihkan komunikasi dengan pasukan agar dapat berikan mereka lebih input mengenai jentera serta cara tunggangan saya.

“Saya suka jentera Honda kerana struktur badannya yang lebih lebar yang memberikan saya keselesaan semasa berlumba,” katanya.

Dalam pada itu, Adib berkata, pusingan kedua dia akan lebih fokus dan berusaha meningkatkan stamina serta kecergasan mental.

“Pasukan saya telah memberikan 100 peratus tumpuan kepada keperluan saya. Mereka juga sentiasa memberikan saya sokongan dari segi jentera dan tunjuk ajar.

“Pusingan ini juga akan berlangsung di kampung halaman saya jadi saya agak teruja setelah sekian lama tidak berlumba di sini.

“Sudah pasti saya akan memberikan saingan terbaik kepada pelumba-pelumba lain dan cuba mengutip mata untuk kekal di kedudukan atas,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!