Banglo mewah jadi pusat judi diserbu polis
RAWANG - Menjadikan sebuah banglo mewah tiga tingkat dengan dijaga pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
Itu modus operandi sindiket judi atas talian yang menjadikan banglo mewah di kawasan Puteri Heights, di sini sebagai pusat operasi perjudian mereka.
Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sekitar jam 9 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pada serbuan itu, polis menahan lapan individu termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 17 hingga 35 tahun yang merupakan penjaga dan pekerja di pusat judi itu.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua set komputer dan dua set komputer riba yang memaparkan unsur-unsur penganjuran perjudian atas talian, satu mesin pencetak, 19 telefon bimbit, satu beg mengandungi resit transaksi bank, dua modem internet, dua buku telefon dan fail.
"Hasil soal siasat ke atas suspek didapati, premis ini baru beroperasi sebulan dan anggaran pertaruhan yang telah diperoleh adalah sebanyak RM30,000 hingga RM40,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arsad berkata, banglo itu dijadikan pusat untuk menerima wang pertaruhan, hebahan maklumat pertaruhan, dan juga menguruskan rumah pertaruhan.
"Tujuh suspek yang ditahan bertindak mengurus dan memantau judi dalam talian dengan menggunakan komputer dan komputer riba untuk pelanggan berurusan.
"Semua kegiatan itu menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan Telegram, manakala transaksi pembayaran adalah secara online banking," katanya lagi.
Semua suspek direman bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!