Segera laksanakan Akta Pendanaan Politik - PKPIM
SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa pelaksanaan Akta Pendanaan Politik disegerakan berbanding mengehadkan perbelanjaan parti dalam usaha menghapuskan rasuah ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, pelaksanaan akta tersebut dapat mengenal pasti para penderma yang memberi sumbangan kepada sesebuah parti politik.
"Disebabkan tiada Akta Pendanaan Politik, ada pemimpin parti politik mendapatkan dana daripada syarikat-syarikat tertentu untuk belanja kempen selain urusan organisasi politik masing-masing.
"Jika ada akta berkenaan, kita dapat mengetahui dana parti politik itu datang dari mana selain menerima sumber kewangan yang bersih untuk melaksanakan perbelanjaan pilihan raya.
"Sebab itu, saya katakan lebih baik dan utama jika kerajaan teruskan usaha memastikan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik ini sekali gus menghapuskan salah laku dan perbuatan rasuah ketika pilihan raya," katanya.
Pada 8 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, kerajaan akan merujuk Akta Pendanaan Politik kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.
Azalina berkata, langkah itu membolehkan parti politik dan pihak berkepentingan memberi maklum balas seterusnya diambil kira bagi memastikan akta yang digubal bersifat menyeluruh.
Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, pelaksanaan akta tersebut membolehkan pemantauan dilakukan dan mengetahui sumber kewangan diperoleh sesebuah parti politik.
"Ini bagi memastikan setiap derma diterima daripada mana-mana parti itu lebih telus selain daripada sumber yang sah dan bukannya secara haram," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!