PRN di enam negeri dijangka rancak, menarik

PRN yang dijangka Julai ini bukan sahaja menarik dengan penampilan pertama calon-calon PH-BN bahkan turut menampilkan lapan bekas pimpinan UMNO yang menyertai parti lawan.
PRN yang dijangka Julai ini bukan sahaja menarik dengan penampilan pertama calon-calon PH-BN bahkan turut menampilkan lapan bekas pimpinan UMNO yang menyertai parti lawan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung sekitar Julai bukan sahaja menarik dengan penampilan pertama calon-calon Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) bahkan turut menampilkan lapan bekas pimpinan UMNO yang menyertai parti lawan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini, namun beliau enggan mengumumkan nama pemimpin tersebut atas faktor keselamatan.

Apapun keputusannya sudah pasti ‘perang’ antara dua gagasan parti PH-BN dan PN yang dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas membawa wadah baharu dalam landskap politik negara.

Tidak kira siapa yang menang sekalipun yang penting peranan amalan demokrasi di negara ini dapat diteruskan sebagai kesinambungan bagi menentukan kuasa pentadbiran di enam buah negeri.

Malah di Selangor, PRN bakal menyaksikan persaingan sengit antara PN dan PH.

Penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, PH dan PN mempunyai peluang seimbang dan tiada yang akan mendapat kemenangan dengan majoriti mudah.

Menurutnya, potensi pecah undi amat tinggi susulan sokongan orang Melayu terhadap PN selain dipengaruhi isu kos sara hidup dihadapi rakyat pada enam bulan pertama di bawah pemerintahan PH.

Pun begitu sesetengah pemerhati politik berpandangan bukan mudah PN untuk menumbangkan PH di Selangor kerana PH sudah sebati dengan rakyat Selangor sejak tiga penggal yang lalu.

PRN kali ini juga bakal menyaksikan apakah UMNO di Selangor mampu membuat kejutan hasil gabungan dengan rakan sekutunya yang baharu.

Namun di sesetengah negeri di pantai timur khususnya, penggunaan logo parti juga dilihat bakal menjadi penentu kepada kemenangan parti yang bertanding.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN tidak berdepan masalah jika Pas mahu menggunakan logo parti mereka di Kelantan dan Terengganu kerana orang sudah kenal PN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!