Young Tigers dituntut lebih padu di Oman
PEMAIN skuad hoki remaja negara dituntut untuk meningkatkan prestasi masing-masing apabila menyingkap cabaran Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah Oman bermula Selasa hingga 1 Jun depan.
Malah pengendali Young Tigers, Muhamad Amin Rahim mahu pemain-pemainnya menggunakan kejohanan itu sebagai pentas persiapan mental dan fizikal bagi menghadapi Piala Dunia Remaja 2023.
Katanya, secara keseluruhan persediaan pasukan berada pada tahap terbaik, namun berharap pemain mengekalkan fokus dan konsisten dalam setiap latihan serta perlawanan.
“Biarpun Malaysia telah layak beraksi di Kejohanan FIH Hoki Piala Dunia Kuala Lumpur 2023, namun kejohanan ini akan digunakan pasukan sebagai persiapan bagi menghadapi temasya tersebut.
“Jadi pemain yang diturunkan harus tampil dengan persembahan terbaik masing-masing pada kejohanan ini.
“Segala input yang diperoleh di sini akan membantu barisan jurulatih mempersiapkan satu skuad yang mantap pada Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, Young Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan, Oman dan Uzbekistan.
Skuad muda negara akan membuka gelanggang berdepan Uzbekistan jam 9.45 malam, Selasa.
Dalam masa sama, Muhamad Amin berharap pengalaman dan pendedahan diperoleh pemain semasa Siri Jelajah Perth dan Sukan SEA Kemboja 2023 digunakan dengan sebaik mungkin ketika beraksi di Semenanjung Arab tersebut.
“Secara keseluruhan untuk Siri Jelajah Perth dan Sukan SEA Kemboja 2023 terutama dari segi tempo, kualiti, physicality dan speed, para pemain mendapat minit permainan secukupnya serta dapat pendedahan yang baik.
“Para pemain juga menunjukkan peningkatan setiap perlawanan yang mempunyai taktikal permainan dan kekuatan pasukan yang berbeza, namun pemain berjaya menghadapi setiap perlawanan dengan baik.
“Setiap pasukan yang bertanding ada misi tersendiri, namun kita tetap kena hormat setiap pasukan dan tidak boleh memandang rendah setiap pasukan,” katanya.
Piala Remaja Asia 2023
Kumpulan B
SELASA (23 MEI)
Malaysia lwn Uzbekistan, 9. 45 malam
KHAMIS (25 MEI)
Malaysia lwn Bangladesh, 7.30 malam
SABTU (27 MEI)
Malaysia lwn Korea Selatan, 1 petang
SELASA (30 MEI)
Malaysia lwn Oman, 12.30 tengah malam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!