Tiada gula premium RM4.80 dijual di Perak
![Kah Leong (dua dari kiri) dalam sidang akhbar pada Selasa.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/05/23/2204869.jpg)
IPOH - [KEMAS KINI] Kerajaan Perak menafikan dakwaan terdapat penjualan gula premium RM4.80 di negeri ini.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati, gula yang dijual masih pada kadar runcit ditetapkan iaitu gula bertapis kasar RM2.85 sekilogram dan RM2.95 gula halus.
"Selepas disemak, tiada penjualan gula premium di Perak setakat ini.
"Saya sendiri pergi ke beberapa pasar raya untuk buat pemeriksaan, tetapi langsung tidak jumpa gula premium RM4.80 seperti dikatakan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penjualan gula premium RM4.80 di Taipin seperti dibangkitkan Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Hotel Perak 2023 pada Isnin.
Mohd Fakhrudin menyentuh rungutan peniaga terutama peniaga kuih yang dihimpit kebimbangan dengan masalah bekalan guna selain terpaksa bergantung kepada bekalan gula premium yang dijual pada harga RM4.80 sekilogram.
Kah Leong berkata, bekalan gula di Perak setakat ini adalah terkawal dan mencukupi keperluan penduduk tanpa sebarang kenaikan harga.
Katanya, daripada hampir 30,000 pemeriksaan dijalankan, tiada isu kekurangan bekalan mahupun harga dibangkitkan.
"Kerajaan negeri beri jaminan harga gula tidak akan dinaikkan dengan bekalannya kekal cukup di pasaran.
"Sekiranya ada kawasan terjejas seperti kekurangan atau tiada bekalan, kita mohon salurkan maklumat dan buat aduan rasmi kepada KPDN," katanya.
Kah Leong berkata, dari Januari sehingga semalam, hanya lima aduan diterima masing-masing empat membabitkan kenaikan harga gula di Manjung dan Taiping manakala satu berkaitan bekalan tidak mencukupi di Pengkalan Hulu.
Katanya, semua aduan itu telah diselesaikan dan diambil tindakan termasuk mengenakan kompaun RM500 terhadap peniaga terlibat.
"Daripada aduan itu, kita dapati harga gula dijual sehingga RM3.20 sekilogram, begitupun tindakan telah dikenakan kepada peniaga.
"Bagi isu bekalan pula, berlaku disebabkan kelewatan kerana di kawasan sana (Pengkalan Hulu) bekalannya diterima dari Kedah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!