Pemilik Kelab Komedi Crackhouse dibenar mula semakan kehakiman

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, memberi kebenaran kepada dua pemilik Kelab Komedi Crackhouse untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menarik balik lesen perniagaan kelab berkenaan, Julai tahun lalu.

Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram untuk memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan DBKL yang tidak membenarkan mereka daripada memulakan sebarang perniagaan di ibu kota, seumur hidup.

Selepas prosiding, peguam, Sangeet Kaur Deo berkata, mahkamah membenarkan permohonan dua anak guamnya itu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap DBKL dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

“Kami telah menarik balik tindakan undang-undang terhadap tiga responden iaitu bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan kerana bukan mereka yang membatalkan lesen peniaga, sebaliknya datuk bandar.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 6 Jun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Pada 24 November tahun lalu, kedua-dua pemilik kelab komedi kontroversi itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang.

Permohonan perisytiharan juga dibuat berhubung isu tidak membenarkan mereka yang juga pengasas kelab komedi itu untuk mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup, meskipun bawah nama dan syarikat lain, adalah tidak berperlembagaan.

Turut dimohon satu perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan itu atas alasan mereka mempunyai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan perniagaan dengan lesen sah, di bandar raya ini.

Pada 12 Julai tahun lalu, Jalaluddin (ketika itu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) mengumumkan bahawa lesen Kelab Komedi Crackhouse digantung bermula 10 Julai, dan premisnya disita DBKL sehari kemudian.

Tindakan serta-merta tersebut dibuat susulan tular video seorang wanita membuka tudung dan menanggalkan pakaian namun mengakui Islam serta menghafal 15 juzuk surah al-Quran ketika membuat persembahan di premis komedi terbabit.

Untuk rekod, Mohamad Rizal berdepan tiga pertuduhan kes jenayah di Mahkamah Sesyen di sini, pada 22 Julai tahun lalu, iaitu membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil 'Rizal van Geyzel, Instagram 'rizalvangeyzel' dan TikTok 'rizalvangeyzel', antara 4 hingga 6 Julai 2022.

Mahkamah menetapkan pada 31 Mei ini bagi keputusan representasinya, untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!