[VIDEO] Kahwin tak daftar, faktor utama lewat daftar sijil kelahiran
PORT DICKSON - Perkahwinan tidak didaftarkan dikenal pasti menjadi faktor utama kebanyakan kes pendaftaran lewat sijil kelahiran.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Zamri Misman berkata, keadaan itu menyebabkan pasangan takut untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.
Menurutnya, ia menjadi bertambah sukar apabila mereka tidak berterus terang ketika proses permohonan selain gagal mengemukakan dokumen dikehendaki.
"Bermula dari situ maka episod buruk berlaku dan selalunya bila anak nak sekolah baharu terfikir mahu mendaftarkan anak dan ketika itu mula menyalahkan kerajaan apabila berdepan proses yang sukar.
"Sepatutnya prosesnya ringkas saja. Kalau sijil kahwin tiada, cakap tiada. Yang jadi masalah bila mereka kata ada, tapi sebenarnya ia tiada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sijil kelahiran (daftar lewat kelahiran) bukan warganegara kepada kanak-kanak, Muhammad Yusri, 8, menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN di rumah neneknya di Taman Desa Permai di sini pada Selasa.
Jelasnya, tempoh permohonan itu selesai bergantung kepada kerjasama pihak berkaitan.
Selain itu katanya, JPN telah meluluskan 10,245 daripada jumlah 14,557 permohonan daftar lewat kelahiran yang diterima dari tahun 2022 sehingga bulan lalu.
Mengenai kes Muhammad Yusri, beliau berkata, semakan mendapati masalah timbul disebabkan pernikahan arwah ibu bapanya tidak didaftarkan mengikut undang-undang di Malaysia.
"Sehubungan itu kita telah menghubungi waris arwah bapanya untuk membantu mendaftarkan kelahirannya dan berdasarkan keterangan saksi-saksi berkenaan, Panel Jawatankuasa Permohonan Daftar Lewat Kelahiran JPN telah meluluskan pendaftaran kelahiran kanak-kanak itu.
"Dengan adanya sijil kelahiran ini, sekurang-kurangnya dia ada dokumentasi peribadi untuk digunakan dalam apa-apa urusan," katanya.
Tambah Zamri, waris kanak-kanak itu juga diminta membuat proses pengambilan anak angkat bagi tujuan permohonan proses kewarganegaraannya.
Dalam pada itu beliau memohon kepada mereka yang berdepan masalah untuk mendaftarkan kelahiran untuk terus datang berurusan di JPN bukannya menggunakan pihak tertentu bagi mengelakkan ditipu.
"Datang saja ke JPN dan kita akan beri nasihat. Jangan tanya pihak lain yang tak mahir pun tentang perkara ini sekaligus bagi mengelakkan dikenakan apa-apa bayaran tak sepatutnya," katanya.
Sementara itu Sabariah Ahmad, 69, yang merupakan nenek kepada Muhammad Yusri berterima kasih kepada JPN kerana memudahkan urusan permohonan mendapatkan surat beranak cucunya.
Katanya, dia tidak sabar mendaftarkan kanak-kanak itu ke sekolah kerana selama ini dia hanya belajar dengan guru tuisyen di rumah.
"Susah kerana dia tiada surat beranak. Arwah ayahnya pula lewat buat permohonan kerana ada masalah sijil nikah selain arwah isterinya pula merupakan warga Indonesia.
"Tapi saya lega kerana tak sampai sebulan JPN telah luluskan permohonan surat beranak cucu saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!