Makna sebenar Hari Pekerja

A
A
A

HARI ini ramai daripada kita akan bersantai-santai sempena cuti umum Hari Pekerja.

Walaupun sudah acap kali kita menyambutnya, namun masih ramai yang tidak memahami signifikan sambutan Hari Pekerja ini selain daripada pemahaman simplistik dan salah yang mengaitkan Hari Pekerja adalah hari bagi semua yang bergelar pekerja berehat dan bercuti. Tanyalah pada setiap orang yang kita temui, sudah tentu itulah jawapan mereka.

Sebenarnya Hari Pekerja bukan sepertimana yang kita semua fikirkan. Ia bukan sekadar cuti umum dalam kalendar cuti sesebuah negara, apatah lagi bagi negara yang mempunyai cuti umum terbanyak di dunia seperti Malaysia.

Malah ia sepatutnya digelar Hari Buruh, bukan Hari Pekerja sepertimana kebiasaannya. Kerana sebetulnya Hari Buruh merujuk kepada perkataan ‘Buruh’ atau ‘Labour’ dalam bahasa Inggeris yang dikaitkan dengan pekerjaan yang menggunakan kudrat dan tenaga manusia secara manual.

Justeru, ia sepatutnya dipanggil Hari Buruh kerana mana-mana individu yang melakukan kerja pentadbiran, pengkeranian, perguruan atau apa sahaja yang tidak menggunakan kudrat tulang empat kerat dalam menghasilkan sesuatu tidak termasuk dalam kategori buruh.

Jadi, sudah tentulah cuti Hari Buruh ini bukanlah untuk kalian, maaf ya! Tapi janganlah pula berkecil hati dengan kenyataan itu kerana konsep buruh juga sudah berubah pada hari ini.

Kini, Hari Buruh dipanggil Hari Pekerja sempena mengambil kira bahawa mereka yang bekerja ‘makan gaji’ itu juga adalah buruh kerana sifat umum seseorang buruh pada masa dahulu ialah menerima upah daripada hasil pekerjaannya.

Sejarah Hari Pekerja (baca: Hari Buruh) diwujudkan bagi memperingati perjuangan buruh yang menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja ketika revolusi industri berkembang pesat di Barat.

Artikel Berkaitan:

Perkembangan ekonomi Barat yang bergantung harap kepada pemodal kapitalis (pemilik kilang) menjadikan kerajaan lemah kerana membiarkan pasaran mengatur dirinya sendiri menerusi amalan ‘laissez faire’ yang menghalang campur tangan aktif kerajaan dalam aktiviti ekonomi dan pasaran.

Akibatnya, pemodal menguasai ekonomi dan mengambil kesempatan ke atas pasaran buruh dengan mengeksploitasi mereka supaya bekerja lebih masa dengan kadar upah yang rendah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan.

Ketika itu, buruh dipaksa bekerja 16 jam sehari. Malah di sesetengah tempat, ada buruh yang bekerja sehingga 19 jam sehari, tanpa cuti. Perkara ini makin serius apabila pemodal sanggup menggunakan buruh wanita dan kanak-kanak sehinggakan ia menjadi biasa dan berleluasa tanpa sebarang kawalan daripada kerajaan.

Disebabkan itu, para buruh terutamanya pekerja kilang bangkit mendesak supaya hak pekerja dijaga bermula dengan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut menuntut hak, iaitu lapan jam bekerja sehari dan cuti rehat seminggu sekali, di samping turut dibayar upah yang setimpal.

Di peringkat awal, demonstrasi ini dianjurkan oleh kesatuan sekerja dan parti politik yang menyebelahi mereka, tetapi lama kelamaan ia menjadi arus perdana apabila kerajaan pula turut sama menganjurkannya.

Kemuncak kepada perjuangan buruh itu sudah tentulah dikaitkan dengan Rusuhan Haymarket (Haymarket Affair) di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Mei 1886.

Mogok aman para pekerja yang berhimpun untuk menuntut hak-hak mereka berakhir dengan keganasan dan tragedi berdarah yang membawa kepada kematian.

Tragedi inilah yang akhirnya membawa kepada sambutan Hari Buruh Antarabangsa atau May Day (sambutan Hari Mei) yang kemudiannya menetapkan 1 Mei sebagai Hari Buruh. Begitulah hebatnya sejarah perjuangan para buruh dalam memperjuangkan hak mereka dan kita hari ini sebagai pekerja.

Bersempena hari ini, marilah kita sama-sama merenung kembali matlamat asal kepada sambutan Hari Pekerja diwujudkan. Hari ini bukanlah untuk bercuti semata-mata.

Ia diwujudkan untuk mengenang perjuangan menuntut hak dan kesaksamaan satu kelompok yang bernama pekerja. Baik pekerja mahupun pihak majikan, hari pekerja sepatutnya dijadikan renungan dan pedoman kepada kepekaan terhadap aspek-aspek keadilan, kejujuran, amanah dan tanggungjawab dalam konteks bekerja selain daripada memikirkan produktiviti dan keuntungan semata-mata.

Dalam suasana dunia yang makin terbuka dan kompleks, isu-isu pekerja kini tidak lagi berkisar tentang gaji, waktu kerja atau cuti sahaja.

Perkara-perkara seperti jaringan keselamatan sosial, imbuhan dan manfaat sampingan, kebajikan dan persaraan pekerja juga harus diperhatikan dan diperluaskan.

Dengan kebanjiran buruh asing ke dalam negara ini, kerajaan juga harus peka dan pantas bertindak bagi membela nasib pekerja tempatan.

Kita khuatir kalau terlambat, akan timbul eksploitasi bentuk baharu oleh mereka yang culas dan tamak.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!