Bapa tiga anak miliki gambar, video lucah didenda RM6,000
AMPANG - Tindakan bapa kepada tiga anak memiliki 169 gambar dan video lucah dalam telefon bimbit, mengundang padah apabila dia didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Pekerja penyelenggaraan, Mazlan Firdani Marzuki, 30, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Sekiranya gagal membayar denda, mahkamah memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa ada dalam milikannya 92 gambar dan 77 kandungan video lucah dalam telefon bimbit jenama Samsung Galaxy, di sebuah rumah di Jalan Indah, Taman Ampang Indah, di sini pada jam 10.45 pagi pada 20 April tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga termasuk tiga anaknya berusia satu hingga 14 tahun.
“Dia memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama,” kata peguam itu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nur Nazhilah Mohammad Hashim mencadangkan tertuduh dijatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!