Tiada satu cadangan projek rumah belia berjaya dilaksana

Akmal Nasrullah - Foto Bernama
Akmal Nasrullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang projek perumahan untuk golongan belia yang diumumkan kerajaan terdahulu menerusi inisiatif Perumahan Transit Belia (MyTransit) pada 2018 dan Rumah Transit Belia (RTB) 2021 berjaya dilaksanakan, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, apabila berlaku pertukaran kerajaan, pentabiran baharu merujuk semula cadangan inisiatif berkenaan dan meneliti punca kegagalan pelaksanaan projek itu.

"Kedua-dua pengumuman (projek rumah belia) itu tidak berlaku apa-apa, sehingga sekarang kita tiada pun rumah yang seperti diumumkan sebelum ini.

"Februari lepas, kami semak semula (cadangan projek), maka kami perincikan lagi perjanjian dengan syarikat (pembinaan) agar mereka penuhi syarat pendahuluan (CP), agar mereka memikul tanggungjawab memenuhi tuntutan untuk memulakan projek itu.

"Cabaran bagi kami (Kerajaan Perpaduan), walaupun idea projek (perumahan belia) sudah bermula sejak 2017, masih tidak menjadi, insya-ALLAH kali ini kami cuba jadikannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai berbezaan dan penambahbaikan projek RTB oleh kerajaan terdahulu dengan inisiatif Rumah Belia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) sama ada kerajaan akan menyemak semula Dasar Perumahan Negara sedia ada berikutan terdapat pelbagai skim perumahan yang disediakan kerajaan, Akmal Nasrullah berkata, kementerian itu sedang meneliti dasar berkenaan.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk semakan semula dasar berkenaan supaya dasar yang dirangka kerajaan sentiasa memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah.

"Pelbagai skim perumahan yang diperkenalkan bagi memenuhi keperluan golongan berbeza, namun apabila terdapat perbezaan skim, berlaku ketidak efisien hingga ada golongan yang tersisih atau terpinggir.

"Sehubungan itu, terdapat keperluan dan komitmen kita untuk meneliti dasar sedia ada termasuklah dalam soal isu harga rumah dan lain-lain," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!