KPDN Pahang rampas lebih 110,000 liter diesel bersubsidi
KUANTAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang telah merampas 110,744.85 liter minyak diesel bersubsidi menerusi operasi yang dijalankan sejak Januari lepas sehingga kini, kata Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin.
Beliau berkata, jumlah rampasan keseluruhan mencatatkan sebanyak RM538,763.90, melibatkan nilai minyak diesel dan peralatan disita masing-masing RM239,420.50 dan RM299,343.40.
Katanya, kebanyakan sitaan diesel pada tahun ini berlaku di daerah Kuantan manakala hanya satu kes direkodkan di Raub dan sepanjang operasi tersebut dilaksanakan lapan individu telah ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan menyeleweng minyak diesel.
"Sehingga kini, sebanyak 10 kes dihasilkan berkait aktiviti penyelewengan minyak diesel dengan lima kes dilakukan menerusi Op Tiris, yang operasi tersebut telah dilaksanakan di 550 premis di seluruh Pahang," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Jezlily berkata, pihaknya mendapati mereka yang terlibat dengan kegiatan ini sering menggunakan taktik mengubah suai lori untuk mengaburi pihak berkuasa.
"Mereka didapati menggunakan lori-lori yang diubah suai untuk mengutip minyak dari satu stesen ke stesen yang lain untuk dipindahkan ke lokasi tertentu sebelum dijual kepada industri,” katanya.
Menurut beliau, antara kesukaran yang dihadapi oleh KPDN dalam melaksanakan operasi itu apabila sindiket menggunakan 'tonto' untuk mengesan kehadiran pihaknya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap komited dan proaktif dalam membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel selain berharap masyarakat dapat menjadi mata dan telinga agensi itu dengan menyalurkan maklumat berkaitan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!