PRN: Pemuda UMNO Terengganu nafi tolak DAP

Tengku Haphiz
Tengku Haphiz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda UMNO Terengganu menafikan penyebaran poster yang mendakwa mereka menolak DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Ketua Pemudanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, maklumat yang disebarkan itu adalah palsu dan tidak menggambarkan pendirian sayap belia parti berkenaan.

Jelasnya, setakat ini pendirian mereka tidak bertentangan dan selari dengan apa juga keputusan yang ditetapkan oleh kepimpinan UMNO di peringkat pusat.

"Semua yang disebarkan itu adalah palsu kerana di Terengganu memang DAP tidak bertanding dan ia adalah keputusan yang diambil bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Bagaimanapun, DAP tetap akan bersama-sama menyokong calon BN sepanjang proses PRN nanti. Jadi, rakyat Terengganu tak perlu bimbang atau termakan dakyah politik murahan.

"Apa yang saya percaya ialah sikap menghasut dan memfitnah ini akan merosakkan keharmonian negara," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Sebelum ini tular di media sosial Facebook poster beserta keterangan UNDI DAP: Arahan undi DAP tidak terpakai untuk PRN Terengganu, Pemuda UMNO Negeri bertegas tiada kerusi sesuai untuk DAP.

Selain itu, pada poster sama terdapat juga dakwaan mengatakan pengundi Melayu yang cerdik tidak akan beri undi kepada BN (kerana) melebarkan kuasa DAP.

Pada Jumaat lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Jelas beliau, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!