PRN: Noor Azmi sedia serah kerusi jika Jalaluddin jadi calon
JELEBU - Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Noor Azmi Yusof bersedia menyerahkan kerusi yang disandangnya kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sekiranya parti mahu meletakkannya sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Malah keputusan sama turut akan dilakukan oleh ADUN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.
Noor Azmi menjelaskan, mereka sudah mengadakan perbincangan bersama Jalaluddin mengenai perkara tersebut.
"Tidak kisahlah sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang atau Sungai Lui, saya dan Mohd Razi bersedia memberi laluan kepada beliau (Jalaluddin) untuk bertanding.
" Tiada istilah merajuk atau bersedih kerana apa yang penting bagaimana untuk memastikan kemenangan dalam PRN akan datang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Razi yang senada dengan Noor Azmi berkata, beliau sebelum ini sudah memberi tawaran kepada Jalaluddin untuk bertanding di DUN Sungai Lui.
"Kalau dah menjadi keputusan parti tiada masalah untuk saya berbuat demikian," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Jalaluddin bersedia untuk bertanding pada PRN sekiranya diberi tanggungjawab oleh parti, namun menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
Berdasarkan rekod, Jalaluddin pernah menjadi ADUN Klawang dari 2004 - 2008, ADUN Pertang (2013 - 2018) dan ketika ini sudah dua penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jelebu bermula 2018.
Selain itu, Jalaluddin pernah dilantik menjadi Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan pada 2013 hingga 2018 ketika Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
Jalaluddin juga pernah menjadi Pengerusi Uda Holdings Berhad dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!