Maut jatuh gaung dekat Genting Highlands

Anggota bomba membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Kilometer 1 jalan naik Genting Highlands pada Selasa. - Foto: Ihsan JBPM
Anggota bomba membawa naik mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Kilometer 1 jalan naik Genting Highlands pada Selasa. - Foto: Ihsan JBPM
A
A
A

BENTONG - Seorang warga emas ditemui maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter di Kilometer 1 jalan naik Genting Highlands di sini pada Selasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, mangsa iaitu lelaki berusia 60-an itu dipercayai tergelincir ketika melakukan lawatan tapak untuk kerja-kerja pemasangan paip di di lereng bukit berkenaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.53 petang.

"Seramai enam anggota dan dua pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands dikerahkan ke tempat kejadian.

"Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali dan pengusung untuk menaikkan mangsa," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, kerja-kerja menyelamatkan dijalankan bersama Unit Kebaran Genting dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!