PGA bantu penugasan PRN Kelantan
TANAH MERAH - Pasukan Gerakan Am (PGA) akan membantu penugasan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini akan datang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perkara itu bagaimanapun belum dimuktamadkan dan akan diputuskan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sedikit masa lagi.
“Kemungkinaan PGA juga akan dibenarkan untuk digunakan semasa PRN yang sebelum ini hanya ditempatkan di Bukit Aman.
“Kalau dibenarkan, kami berterima kasih memandangkan dengan adanya PGA, polis boleh mengawal pilihan raya selain tugas-tugas hakiki termasuk rondaan di sempadan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini, pada Selasa.
Turut hadir Komander Briged Tenggara PGA Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar.
Menurut beliau, persiapan PRN sudah dilakukan termasuk keperluan anggota, logistik, kebajikan dan sebagainya.
“Bukit aman sendiri pun sudah buat persiapan di peringkat pusat, jadi bila-bila masa saja kami akan dipanggil dan membentang perancangan untuk diselaraskan,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini di Kelantan membabitkan sebanyak 45 Dewan Undangan Negeri dan tidak banyak perubahan dari segi tempat mengundi.
“Kita sudah ada pengalaman dalam soal ini, saya rasa tiada masalah.
“Kami akan laksanakan dengan baik termasuk dari segi keanggotaan di setiap tempat mengundi dan setakat ini anggota mencukupi,” ujar Muhamad Zaki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!