PRN Kedah: PH berpeluang menang tapi perlu kerja keras
ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) berpeluang untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kedah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), namun semua parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras untuk menyakinkan rakyat di negeri ini.
Pengarah Jabatan Pilihanraya PKR Kedah yang baharu dilantik, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kejutan mampu dilakukan oleh PH pada PRN di Kedah jika menggunakan strategi yang tepat.
Menurutnya, PH berdepan saingan sengit daripada Perikatan Nasional (PN) yang sedang memimpin kerajaan negeri ketika ini namun beliau bersedia untuk mencurahkan segala pengalamannya sebagai pengarah pilihanraya semasa membantu Pas mengambil alih Kerajaan Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
"Saya juga mempunyai pengalaman sebagai pengarah pilihanraya semasa bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan PH mengambil alih kerajaan Kedah pada PRU tahun 2018.
"Semua pengalaman ini akan saya guna untuk membantu PKR dan PH bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi. Masa cukup singkat tapi kita akan menggunakan sebaik mungkin untuk memperkemaskan jentera parti PKR di Kedah.
"Ada harapan untuk PH menang dan membentuk kerajaan selepas PRN di Kedah tapi janji perlu kerja keras dan strategi kena betul. Sejarah penduduk Kedah dalam memilih parti yang akan memimpin negeri setiap kali PRU sentiasa berubah-ubah kerana mereka mengikut perkembangan semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Bekas Pengerusi Amanah Negeri Kedah itui berkata, satu mesyuarat khas bakal diadakan pada malam Selasa bagi memperkemaskan urusetia pilihanraya PKR Kedah dan jentera tersebut secara rasminya akan bergerak memulakan kerja pada 1 Jun depan.
Jelasnya, masa yang singkat menjadi cabaran semasa untuknya mempersiapkan jentera pilihan raya tersebut namun percaya akan menerima kerjasama penuh dari setiap cabang dan ranting di negeri ini.
"Selepas Jabatan Pilihanraya PKR Kedah dipersiapkan dengan baik maka selepas itu strategi seterusnya akan diadakan bersama parti lain dalam PH dan juga Barisan Nasional.
"Misi kita jelas iaitu kempen 'kalih bagi sama' dalam memastikan kerajaan negeri Kedah yang dibentuk selepas PRN ini adalah seiring dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan lagi menjadi kerajaan pembangkang," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu.
Pada 30 Oktober tahun lalu, Amanah memecat keahliaan bekas Ketua Pembangkan Dewan Undangan Negeri Kedah itu kerana didapati telah melanggar perlembagaan parti kerana memprotes tindakan PH meletakkan calon Melayu DAP di Parlimen Jerai.
Biarpun menjadi ADUN Bebas, Phahrolrazi tetap komited menyokong PH untuk menang PRU15 dan membentuk kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!