ST tubuh Pasukan Petugas Khas pantau bekalan elektrik di Sabah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENAMPANG - Suruhanjaya Tenaga (ST) akan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas khusus untuk memantau dan mengkoordinasi operasi bekalan tenaga elektrik di Sabah esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razib Dawood berkata, pasukan itu akan dipengerusikan oleh pihak ST yang dianggotai oleh ahli-ahli dalam jawatankuasa kanun negeri dan Labuan iaitu Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB), Petronas serta agensi lain yang berkaitan.

"Pasukan petugas khas ini akan memantau setiap hari operasi (bekalan elektrik), 24 jam sehari, memantau keseimbangan permintaan dan pengeluaran (elektrik) jidar simpanan bagi memastikan bekalan elektrik stabil dan berterusan kepada pelanggan," katanya pada sidang media di Pusat Agihan Elektrik SESB di sini pada Selasa.

Razib berkata, pembentukan pasukan petugas khas itu adalah salah satu usaha untuk meningkatkan jidar simpanan bekalan tenaga elektrik di negeri itu ke tahap yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, antara punca penurunan jidar simpanan elektrik di negeri ini adalah penggunaan tenaga elektrik pada waktu puncak iaitu antara jam 11 pagi hingga 3 petang dan jam 7 hingga 9 malam.

Justeru insentif bagi penggunaan generator oleh pengguna atau pelanggan pada waktu-waktu puncak akan ditambah baik berdasarkan skim yang telah ditetapkan oleh SESB.

"Bagi yang tidak ada generator, mereka digalakkan untuk beroperasi di luar waktu kemuncak dan kita akan beri insentif seperti pemberian diskaun tapi perkara itu akan diperincikan esok di dalam pasukan petugas khas, kalau dipersetujui, kita akan muktamadkan secepat mungkin untuk elakkan catuan elektrik," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!