Suspek serang PM Jepun jalani pemeriksaan psikiatri selama 3 bulan
TOKYO - Suspek yang didakwa melemparkan alat letupan ke arah Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika insiden pada bulan lalu akan menjalani pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan.
Sumber mahkamah memaklumkan pendakwa raya diberi kuasa untuk menahan Ryuji Kimura, 24, sehingga awal September depan untuk penilaian keadaan mentalnya ketika dia bertindak pada hari kejadian.
Jelasnya, pendakwaan ke atas Kimura adalah berdasarkan keputusan pemeriksaannya.
Sehingga kini, dia masih mengunci mulut dan enggan mendedahkan motif cubaan serangan ke atas Kishida dan hampir menerima nasib sama seperti pendahulunya, Shinzo Abe yang maut ditembak pada tahun lalu.
Sebelum ini, Kimura pernah memfailkan tuntutan mahkamah yang mencabar syarat menetapkan calon politik perlu berusia 30 tahun. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!