Kerajaan diminta pantau aplikasi Twitter

PU Syed
PU Syed
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia diminta supaya memantau aplikasi Twitter kerana didakwa dicemari penyebaran pelbagai isu negatif yang boleh merosakkan akidah penggunanya.

Pendakwah, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed berkata, perbincangan di Twitter dilihat sangat terbuka sepertimana isu berhubung penganjuran pesta seks bebas, ‘Gang Bang JB Party’, yang dijadualkan berlangsung Jun ini.

"Alhamdulillah kita telah dedahkan dan dapat respon baik daripada Exco Kerajaan Negeri Johor. Mungkin mereka tidak tahu semua, apabila kita beritahu, respon dan tindakan yang diberi sangat positif, itulah yang dimahukan.

"Bukan bermakna kita salahkan kerajaan tetapi dengan adanya pendedahan itu diharapkan pihak berwajib dapat bertindak dan beri kerjasama walaupun berlainan ideologi serta parti politik," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.

PU Syed turut memuat naik keratan poster pesta berkenaan dan beberapa tangkap layar hantaran Twitter berhubung penganjuran terbabit.

Selain memaparkan tarikh berkaitan penganjuran, poster terbabit turut menyatakan mengenai terma dan syarat untuk mana-mana individu yang berminat menyertai parti seks berkenaan.

Antara syarat utama yang ditetapkan adalah menggalakkan jemputan untuk membawa kondom sendiri, selain menyatakan bahawa parti itu terbuka kepada semua bangsa.

Tambah beliau, antara isu lain yang pernah dibincangkan secara terbuka melalui Twitter adalah mengaku nabi, berzina dan murtad.

"Oleh itu, pihak berwajib yang mempunyai autoriti perlu memandang serius mengenai perkara ini dan pemantauan ketat perlu dilakukan.

"Kita bimbang perkara ini berleluasa sekiranya tidak dibendung," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!