Kerajaan Perpaduan bawa rakyat keluar dari naratif politik ekstrem
SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tekad membina semula naratif dalam negara Malaysia ini agar rakyat tidak terbelenggu dengan naratif perkauman yang ekstrem.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, UMNO-BN akan membawa politik matang dan progresif dan tidak boleh lagi melihat sesuatu parti politik itu berdasarkan sentimen.
Menurutnya, mana-mana parti di bawah gagasan Kerajaan Perpaduan perlu dilihat inklusif dan tidak boleh lagi dilihat sebagai contoh tanggapan yang diletakkan ke atas parti DAP sebagai parti chuvenis, komunis dan bermacam lagi.
“Sebagai parti yang progresif DAP mesti dilihat tidak sebegitu. Saya setuju melihat kepimpinan DAP yang ada pada hari ini, kita lihat mereka lebih moderat.
“Kita kena sambut semua parti MCA, MIC walaupun secara umumnya parti ini berasaskan kaum tapi kita melihat satu konteks yang lebih besar,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri-398 ‘Kerajaan Perpaduan,ke mana undi Melayu?’yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Selasa.
Wacana yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut mengundang pemerhati politik, Iswardy Morni.
Jelasnya, apa juga tindakan yang parti-parti ini buat, mestilah berpandukan semangat Perlembagaan Persekutuan dan juga Rukun Negara.
“Jadi kalau semua parti berpegang kepada nilai tersebut, saya yakin dan percaya Malaysia akan lebih makmur dan politik akan lebih stabil.
“Kita juga dapat lihat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan ini bilangan kerusi yang meyakinkan, saya percaya ianya akan menjadi tawaran baru kepada rakyat Malaysia satu gabungan kerajaan baru yang lebih menyeluruh walaupun ini pertama kali dua parti besar PH dan BN bergabung dalam enam pilihan raya ini.
“Ini merupakan satu ujian dua -dua parti ini tidak bertanding di semua kerusi, kita agih kerusi dengan semangat perpaduan untuk menang bersama dan membina semula negeri dan negara ini,” ujarnya.
Berkenaan stigma UMNO-BN berpaut pada PH untuk terus kekal relevan, Mohd Imran menjelaskan bahawa perkara itu tidak berlaku kerana kedua-dua parti itu bergantung kepada apa yang ingin ditawarkan kepada rakyat.
“Buat masa ini dalam komposisi dan keadaan sekarang BN, PH dan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai matlamat sama jadi ini beri kekuatan kepada kita," ujarnya.
Beliau menegaskan ini bukan masanya hendak bermain dengan sentimen kaum untuk beri kelebihan kepada parti tetapi ianya melihat kepada agenda lebih besar dalam memperkukuhkan ekonomi dan pelaburan negara selepas dibelenggu pandemik Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!