Kelantan FC terus dirundung malang
PENGENDALI Kelantan FC, Frank Bernhardt perlu mencari ramuan terbaik untuk segera mengembalikan The Red Warriors (TRW) ke landasan kemenangan selepas kecundang 1-4 ketika melayan kunjungan PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Selasa.
Itu rumusan yang boleh dibuat selepas kelab dari Negeri Cik Siti Wan Kembang itu tumpas buat kali kelima berturut-turut selepas pengendali berusia 54 tahun itu mengemudi TRW daripada ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik sebelum ini.
Malah kehadiran pengendali dari Kiel, Jerman itu untuk memperbaiki kedudukan liga TRW tampak samar apabila penjaga gol Kelantan FC, Nik Mohd Amin Ahmad bolos dua jaringan dalam aksi babak pertama di hadapan penyokong sendiri.
Dua gol The Cops hadir menerusi Marcus Macauley pada minit ke-15 diikuti jaringan Nabil Ahmad Latpi minit ke-33 membolehkan anak buah Azzmi Ab Aziz memimpin perlawanan babak masa pertama dengan kedudukan 2-0.
Bersambung babak kedua, tuan rumah memasukkan Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi menggantikan Nik Mohd Amin bagi memperkemaskan benteng terakhir TRW.
Begitupun pelawat yang memiliki bekalan selesa pada babak pertama terus melebarkan jaringan dengan dua lagi gol yang dijelmakan Uche Agba pada minit ke-65 sebelum Bruno Suzuki melabuh pesta gol The Cops minit ke-90.
Kelantan FC yang terus berusaha memberi saingan akhirnya berjaya mendapat gol saguhati hasil jaringan Miguel Cifuentes pada minit ke-94.
Kekalahan ke-10 liga itu menyaksikan Kelantan kekal di kedudukan ke-13 dengan empat mata manakala PDRM di tangga ke-10 dengan 13 mata.
Untuk rekod, Kelantan FC gagal meraih sebarang mata dalam empat perlawanan bulan lalu selepas tewas 0-3 kepada Selangor FC (9 April), 1-6 kepada Sabah FC (19 April) dan 2-3 kepada Perak FC (28 April) manakala tumpas 0-5 kepada Kedah Darul Aman FC pada 19 Mei lalu
Kelantan FC bakal membuat perhitungan derbi Kota Bharu berdepan Kelantan United pada 2 Jun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!