Wartawan Imran Riaz Khan masih hilang di Pakistan
ISLAMABAD - Sekitar dua minggu lalu, sebuah video pendek tular di media sosial yang menunjukkan wartawan dan pengulas politik terkenal Pakistan, Imran Riaz Khan, diiringi keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sialkot oleh sekumpulan anggota polis.
Sejak itu, kelibat personaliti media kontroversi berusia 47 tahun itu yang mempunyai lebih tiga juta pengikut di YouTube itu, tidak lagi kelihatan di depan khalayak.
Bahkan, keluarganya atau polis juga tidak mengetahui di mana Imran berada.
Menurut adiknya, Usman Riaz Khan, 32, pada hari video berkenaan dirakam iaitu pada 11 Mei lalu, abangnya sedang dalam perjalanan ke Oman selepas membuat keputusan untuk melarikan diri dari Pakistan susulan kediamannya di Lahore digeledah oleh polis sehari sebelumnya.
"Abang saya boleh bercerita mengenai perihal politik dalam video selama 16 minit dan dia selalu bercerita mengenai kebenaran dan disebabkan itulah dia ditangkap," kata adik bongsu Imran kepada Al Jazeera pada Selasa.
Bercakap dari Lahore, Usman berkata, keluarganya dimaklumkan oleh sumber polis bahawa Imran telah dibawa ke balai sebaik ditahan di lapangan terbang itu.
“Ketika kami bertanya kepada polis, mereka mendakwa sudah melepaskannya (Imran) pada malam itu juga dan mendakwa abang saya beredar dan menyertai sekelompok orang lain yang tidak dikenali dan mereka (polis) tidak tahu apa-apa lagi mengenai Imran,” tegas Usman sambil memberitahu abangnya tidak mempunyai sebarang kes perundangan.
Bagaimanapun, ayahnya dalam tuntutan rasmi kepada polis mendakwa, rakaman CCTV di balai polis menunjukkan anak lelakinya itu ‘diculik’ oleh ‘empat hingga lima lelaki bertopeng’ sebaik dibebaskan.
Dalam perkembangan sama, peguam keluarga berkenanaan, Azhar Siddique mengkritik penangkapan Imran dan mendakwa tidak ada sebarang tuduhan terhadapnya di mana-mana pun di negara itu.
"Meskipun tidak ada sebarang alasan untuk menahannya, namun, pihak berkuasa mencari alasan untuk sengaja melambatkan proses dan menundanya," kata peguam itu kepada Al Jazeera, sambil memaklumkan keluarga Imran akan mengemukakan rayuan.
Usman menegaskan, sepanjang perbicaraan di mahkamah pada 22 Mei lalu iaitu 11 hari selepas abangnya ditangkap, polis berkali-kali mendakwa Imran tidak berada dalam tahanan mereka.
"Ketua polis berkata, mahkamah memerlukan tiga hari lagi untuk mencari abang saya dan kini perbicaraan akan berlangsung pada hari Khamis.
“Keluarga kami benar-benar trauma. Ayah saya yang pengidap kencing manis langsung tidak boleh bercakap mengenai ini (kehilangan Imran).
“Selain daripada anak perempuan sulungnya (Imran), kami juga tidak langsung memberitahu tiga anak-anak beliau yang lain di mana bapa mereka berada dan kenapa dia tidak pulang ke rumah,” tegas Usman lagi.
Ketua Polis Punjab, Usman Anwar dalam reaksinya berkata, Imran tidak berada dalam tahanan polis dan beliau enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan sedang berlangsung di mahkamah.
Dalam perkembangan sama, Menteri Penerangan Interim Punjab, Amir Mir turut menafikan dakwaan Imran berada dalam tahanan polis.
"Ketua Polis Punjab telah memberi keterangan di mahkamah. Masalah ini sedang didengar di sana (mahkamah) ... kami tidak memiliki maklumat mengenai Imran Riaz Khan dan dia tidak ada bersama kami," jelasnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!