Kim Swee ceria dalam gundah
PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui masih terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki The Rhinos biarpun melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas.
Kelekaan para pemain ketika selesa mendahului The Bos Gaurus merupakan elemen yang menjentik Kim Swee biarpun The Rhinos melonjak kelompok empat terbaik dengan kemenangan tujuh liga itu.
"Sejujurnya misi untuk mendapatkan tiga mata itu paling penting dalam perlawanan ini.
"Namun secara keseluruhannya Sabah tidak bermain seperti mana yang dipamerkan pada separuh masa pertama.
"Para pemain mula leka selepas selesa mendahului pasukan Perak dengan tiga gol menyaksikan Sabah dihukum, perkara ini perlu dielakkan dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Likas itu.
Sebelum itu, Sabah kembali semula menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Perak, 3-1 di Likas pada Selasa.
Anak buah Kim Swee tampil garang dengan misi memburu kemenangan selepas seri 2-2 berdepan Terengganu FC sebelum ini.
Tonggak Harimau Malaya, Darren Lok terlebih dulu meletakkan skuad The Rhinos di depan seawal minit keempat hasil rembatan susulan situasi kucar-kacir di pintu gol The Bos Gaurus.
Gol itu nyata menambah semangat pasukan tuan rumah apabila giliran Park Tae-su melebarkan jaringan pada minit ke-31.
Kemudian giliran Baddrol Bakhtiar menampilkan sentuhan pemusnah untuk gol ketiga Sabah untuk mendahului 3-0 separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, anak buah Datuk Lim Teong Kim lebih agresif berbanding separuh pertama kembali menyaingi skuad kendalian Kim Swee.
Hasilnya The Bos Gaurus berjaya mengurangkan defisit menerusi jaringan Harith Naem pada minit ke-83.
Kemenangan ketujuh liga membolehkan Sabah naik ke tangga keempat dengan 24 mata manakala Perak kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata selepas masing-masing mengharungi 12 perlawanan.
Dalam pada itu, Teong Kim mengakui The Bos Gaurus beraksi kurang kemas pada separuh masa pertama apabila memberi ruang kepada The Rhinos.
"Gol-gol yang dijaringkan pasukan Sabah pun disebabkan kita tidak jaga dengan baik.
"Namun pada separuh masa kedua kita tukar cara pasukan bermain dengan meletakkan dua penyerang di depan, selain mengawal pemain-pemain lawan dengan rapi.
"Kehadiran dua penyerang, Perak berjaya beri tekanan kepada Sabah apabila berjaya menjaringkan satu gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!