Kurma Madinah dan kurma dalam peti ais di rumah
MADINAH - Sudah menjadi kebiasaan program ziarah luar untuk jemaah haji Malaysia di kota ini pasti akan melawat ke tempat-tempat terkenal seperti Masjid Qiblatain, Masjid Quba, kawasan pertempuran Bukit Uhud dan kedai kurma.
Lokasi lawatan yang mencuri tumpuan ialah di kedai kurma apabila kehadiran jemaah haji Malaysia disambut dengan penuh senyuman dan kemesraan pemilik ladang dan jurujual di situ.
Mereka tidak dapat menyembunyikan rasa gembira kehadiran jemaah yang ramai ini pasti membawa rezeki yang berlipat kali ganda kepada perniagaan mereka untuk kembali rancak seperti tahun sebelum pandemik.
Kehadiran 28 buah bas jemaah Malaysia dengan ribuan jemaah belum termasuk jemaah dari negara lain sudah pasti menjadikan pemilik perniagaan ini memperolehi untung yang amat besar.
Baki jemaah yang akan hadir lagi 30,000 jemaah berdasarkan kuota penuh jemaah haji Malaysia.
Berada selama 1 jam dalam kedai melihat keletah penjual warga Pakistan dan Arab yang fasih berbahasa Melayu adalah petanda bahawa kedai ini adalah lokasi wajib bagi jemaah dari Malaysia.
Dengan variasi kurma seperti ajwa, mekjol, sukari dan pelbagai jenis lagi kurma yang segar dan menyelerakan, sudah pasti tiada jemaah Malaysia yang keluar daripada kedai itu dengan belian yang kurang daripada ratusan Riyal.
Riak wajah pemilik kedai berkenaan yang dikenali sebagai Majeed juga jelas tersenyum lebar melihat berbondong-bondong bungkusan kurma dibeli oleh jemaah Malaysia.
Mereka juga tidak penat melayan pelanggan dan menghalalkan semua kurma yang ingin dimakan walaupun sehingga kenyang.
Penulis ada bertanya kepada seorang ustaz mutawif yang menjadi pembimbing program ziarah sama ada kedai kurma ini adalah terbaik di kota Madinah.
Jawapannya sudah tentu ya kerana Tabung Haji yang berpengalaman sejak sekian lama membawa jemaah haji ke Tanah Suci pasti mengetahui kedai mana dapat menawarkan harga kompetitif.
Paling penting katanya kurma yang dijual di sini segar kerana harga yang murah di tempat lain kadangkala kurang dari segi kesegarannya.
Ketika menyaksikan keghairahan jemaah Malaysia membeli-belah pelbagai jenis kurma, terlintas di fikiran mengenai buah-buah kurma di dalam peti ais di rumah penulis di tanah air yang dibeli pada Ramadan lalu, belum terusik.
Ada kurma sejuk beku, kurma tanpa biji, kurma inti coklat dan macam-macam jenis kurma tapi semuanya kekal seperti mana semasa dibeli.
Rasa rugi pula jika dibiarkan. Kurma mempunyai banyak khasiat dan nutrisi yang baik untuk tubuh badan kita kerana mempunyai banyak kalori dan karbohidrat.
Ia juga mengandungi vitamin, mineral dan serat serat antioksidan yang dapat menjauhkan diri kita daripada penyakit.
Antara manfaat yang terbukti secara saintifik ialah ia mempunyai sumber serat untuk melancarkan pencernaan berdasarkan kajian yang mendapati individu yang makan tujuh biji kurma setiap hari akan dapat membuang air besar secara teratur.
Kandungan gula serta serat yang tinggi dalam kurma sangat bermanfaat untuk mengawal gula dalam darah.
Di samping itu, kurma kaya dengan antioksidan yang dapat mencegah penyakit dan dipercayai boleh mengurangkan risiko diabetes, alzheimer dan kanser.
Berdasarkan pembacaan penulis, kajian turut menunjukkan kurma dapat meningkatkan daya ingatan dan menjaga kesihatan tulang kerana ia mengandungi mineral iaitu fostor, kalium, kalsium dan magnesium yang dapat mencegah osteoporosis.
Maka selepas ini penulis berjanji tidak akan membiarkan kurma terus membeku di dalam peti ais.
Akan dicari pelbagai cara mevariasikan buah itu supaya terus menjadi tabiat dalam kehidupan seharian.
Mungkin boleh dibuat jus, ais krim, jem dan macam-macam lagi jenis makanan.
Adalah lebih baik memanfaatkan makanan sunnah yang terbukti baik untuk kesihatan daripada mencari produk-produk kesihatan lain yang belum tentu teruji keberkesanannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!