Tak serik jual jam palsu, lelaki dicekup PKPDNHEP
KUALA LUMPUR - Seorang peniaga jam tangan jenama antarabangsa tiruan tidak serik melakukan kegiatan itu walaupun telah dua kali ditahan atas kesalahan sama pada 2016 dan 2018.
Kegiatan lelaki berusia 40-an itu yang dibongkar Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PKPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2016 telah dituduh di mahkamah pada November tahun lalu dan sedang menunggu tarikh untuk dibicarakan di mahkamah.
Sementara kesalahan yang dilakukan pada 2018 kini sedang dalam dokumentasi PKPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk dirujuk ke timbalan pendakwa raya.
Pengarah PKPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, lelaki itu sudah tiga kali ditahan dalam satu lagi serbuan semalam sekitar jam 2.50 petang di sebuah premis di Lorong Haji Taib, Jalan Raja Laut di sini.
Menurutnya, walaupun pernah diserbu dan ditahan sebelum ini, suspek dilihat masih tidak serik dan mengulangi kegiatan itu kerana dipercayai mampu mengaut keuntungan tinggi hasil kegiatan haram itu.
"Namun kita yakin, sebaik dijatuhkan hukuman di mahkamah kelak, ia akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga peniaga lain yang terlibat dengan kegiatan itu memandangkan tertuduh bakal berdepan denda tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu," katanya pada sidang media di PKPDNHEP di sini hari ini.
Ummi Nasrah berkata, dalam serbuan petang semalam, PKPDNHEP berjaya merampas 1,317 unit jam pelbagai jenama dipercayai tiruan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM19,7555.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek mendapatkan bekalan jam berkenaan dari luar negara dipasarkan untuk pembeli tempatan dan pelancong dengan harga RM20 hingga RM50 seunit.
"Serbuan dilakukan hasil risikan anggota PKPDNHEP dan pemilik cap dagang jam berkenaan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011.
Dalam serbuan tersebut PKPDNHEP turut menahan seorang wanita berusia 20-an yang merupakan pekerja di premis itu.
"Kedua-dua mereka direman tiga hari bermula hari ini," katanya lagi.
Ummi Nasrah memaklumkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, PKPDNHEP Wilayah Persekutuan telah melakukan 27 serbuan melibatkan isu berkaitan perlanggaran harta intelek.
"Daripada serbuan itu, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM1.52 juta," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!