Saka sambung kontrak bersama Arsenal
PENYERANG Arsenal, Bukayo Saka menandatangani kontrak baharu jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Pemain England berusia 21 tahun itu menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan musim ini selain turut menghasilkan 11 bantuan jaringan.
"Saya amat gembira. Terdapat banyak cakap-cakap dan ia sudah berlarutan buat seketika tetapi saya kini berada di sini.
"Saya fikir, ini adalah kelab dan tempat yang betul untuk meneruskan langkah. Ia sebuah kelab yang indah dan terbaik.
"Bagi saya, ia tentang mencapai impian peribadi iaitu sebanyak mana telah mendorong diri dan apa yang saya mahukan dari diri dalam setiap perlawanan.
"Saya fikir saya memiliki segala-galanya untuk menjadi pemain terbaik dan gembira untuk kekal berada di sini bagi masa yang panjang kerana benar-benar percaya yang kita boleh mencapai perkara-perkara besar," katanya.
Arsenal tidak mendedahkan tempoh baharu kontrak Saka tersebut, namun dipercayai pemain itu akan kekal di Emirates untuk tempoh empat tahun lagi.
Saka melakukan penampilan pertama bersama The Gunners pada November 2018 dan telah beraksi untuk pasukan itu sebanyak 178 kali.
"Saya dapat lihat banyak perubahan. Saya dapat lihat pasukan dan kelab ini berkembang dan satu perkara yang orang di sekeliling kita berasa teruja adalah kita sedang menuju ke arah yang betul," katanya.
Guardiola tidak akan tinggalkan City
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Guardiola menegaskan dia tidak akan meninggalkan Manchester City walaupun telah berjaya membantu pasukan itu memperolehi kejuaraan treble musim ini.
Menurutnya, situasi pasukan itu yang berdepan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris juga tidak akan mempengaruhi tempoh dia berada di Stadium Etihad.
Selepas kejayaan meraih kejuaraan EPL, Guardiola berpeluang menjadi pengurus kedua dalam sejarah bola sepak Inggeris yang memenangi tiga trofi terbesar sekiranya menang menentang Manchester United dalam final Piala FA dan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan.
Guardiola berkata, dia mempunyai kontrak selama dua tahun lagi bersama City dan akan terus menghormati kontrak tersebut.
"Buat masa ini saya tidak berfikir untuk meninggalkan pasukan, tetapi siapa tahu? Namun, saya tidak berfikir mengenai perkara itu.
"Saya ingin terus berada di sini musim depan tanpa bergantung kepada keputusan. Saya mahukannya, tetapi saya tidak tahu apa yang saya akan rasa, menang atau kalah dalam dua peluang yang ada di hadapan kita.
"Perasaan saya ialah saya mempunyai kontrak dan apabila saya menandatanganinya maka saya mahu menghormati kelab. Saya akan kekal musim depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!