Kerajaan negeri mohon maaf tangguh bayaran i-Perantau
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri memohon maaf kerana terpaksa menangguhkan bayaran bantuan wang i-Perantau untuk rakyat Terengganu yang sepatutnya diagihkan pada Aidilfitri lalu.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, wang berkenaan terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan berikutan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
"Lebih 6,000 anak perantau layak menerima bantuan itu, setiap daripada mereka layak menerima RM300 seorang melibatkan bantuan keseluruhan bernilai kira-kira RM1.9 juta.
"Bagaimanapun, bantuan ini belum dapat diagihkan kerana kelewatan pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) daripada kerajaan pusat kepada Terengganu.
"Kita akan agihkan bantuan ini secepat mungkin kepada semua penerima yang layak sebaik sahaja menerima pembayaran tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Bantuan i-Perantau yang mula dibuka pada April lalu merupakan inisiatif kerajaan Terengganu untuk golongan perantau yang terdiri dalam kalangan anak Terengganu dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan.
Tambah Hanafiah, beliau mewakili kerajaan negeri Terengganu memohon maaf kepada semua penerima yang layak atas kelewatan bayaran bantuan itu.
"Kita berharap pembayaran DKKP ini dapat disegerakan oleh kerajaan pusat kerana ia turut melibatkan komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan agihan bantuan mangsa banjir yang turut tertangguh," katanya.
Hanafiah sebelum ini turut mengulas mengenai agihan bantuan wang mangsa banjir bernilai RM1,000 yang juga belum selesai diagihkan sepenuhnya.
Rata-rata mangsa banjir menzahirkan kekecewaan mereka kerana belum mendapat bayaran wang bantuan sebagaimana dijanjikan.
Untuk rekod, setakat ini hanya mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sahaja sudah menerima bantuan tersebut manakala mangsa lain masih menunggu tarikh agihan yang akan ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!