Liek Hou raih juara berganda di Bahrain

Liek Hou membolot dua gelaran juara pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain, pada Selasa. - Foto Facebook Cheah Liek Hou
Liek Hou membolot dua gelaran juara pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain, pada Selasa. - Foto Facebook Cheah Liek Hou
A
A
A

JAGUH badminton negara, Cheah Liek Hou kembali memperagakan kecemerlangan selepas membolot dua gelaran juara pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain, pada Selasa.

Gelaran juara pertama diraih pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu bermula dengan acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal) selepas menundukkan wakil Indonesia, Suryo Nugroho 21-13 dan 21-10 pada aksi berlangsung di Manama.

Kejayaan itu pada masa sama mengubati kekecewaan Liek Hou yang terkandas di pusingan suku akhir di tangan lawan sama pada Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand, dua minggu lepas.

Atlet berusia 35 tahun itu kemudian meneruskan momentum cemerlang selepas gandingan bersama Muhammad Fareez Anuar berjaya menjinakkan wakil India Chirag Baretha-Raj Kumar sekali gus muncul juara acara beregu lelaki kategori SU5.

Biarpun menang di set pertama 21-18, Liek Hou-Muhammad Fareez diberikan tentangan sengit apabila tewas set kedua 19-21 sebelum berjaya menoktahkan kemenangan di set penentuan 21-14 dalam tempoh 40 minit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!