Penternak kelulut rugi RM5,000 akibat serangan beruang
BANDAR PERMAISURI - Seorang peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kampung Pengkalan Gelap dekat sini, kerugian kira-kira RM5,000 selepas sarang kelulutnya dipercayai dimusnahkan oleh beruang matahari.
Tengku Azam Tengku Mohammad berkata, kejadian yang turut menyebabkan beberapa peralatan ternakan kelulut musnah, berlaku sekitar 10 malam Selasa ketika dia sedang berehat bersama keluarga.,
Katanya, dia terdengar bunyi bising di halaman rumah dan terlihat kelibat beruang yang sedang memusnahkan sarang kelulut untuk mengambil madu.
"Kejadian ini pertama kali berkali berlaku kepada saya, tetapi sehari sebelum ini dah berlaku serangan sama di Kampung Gong Batu (bersebelahan Kampung Pengkalan Gelap).
"Semalam saya ada hubungi UMT dan nyatakan kerisauan tentang serangan tersebut... tak sangka cepat betul terjadi pada saya," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Tengku Azam berkata, dia bersyukur ahli keluarganya selamat kerana semuanya berada di dalam rumah.
Menurutnya atas faktor keselamatan, laporan juga telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu supaya tindakan segera dapat diambil.
Sementara itu, Ketua Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan UMT, Prof Shamsul Bahri Abd Razak berkata, beruang matahari memiliki deria bau yang kuat dan sensitif sehingga mampu menghidu bau madu walaupun dari jarak jauh.
Beliau yang juga Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) UMT berkata kesukaran mencari makanan susulan habitat semula jadi haiwan liar itu semakin mengecil disebabkan aktiviti perladangan, pembangunan kawasan kediaman dan komersial menyebabkannya keluar ke kawasan penempatan manusia.
"Musim kering juga menyebabkan bau madu sangat kuat dan mudah dihidu beruang yang memiliki deria bau sensitif.
"Antara langkah yang boleh diambil oleh penternak kelulut terutama berskala besar ialah memasang pagar elektrik di kawasan masing-masing," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!