Belum ada akta khusus wajib bayar elaun latihan industri

Mustapha
Mustapha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu dimaklumkan setakat ini belum ada sebarang akta khusus untuk mewajibkan bayaran elaun kepada anak muda yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, bagaimanapun kementeriannya akan memperhalusi dan membincangkan perkara tersebut.

"Belum ada akta khusus yang dibuat untuk memastikan pelatih industri kita, terutama anak muda diwajibkan dibayar elaun, bagaimanapun perkara ini akan diambil perhatian dan cadangan tersebut akan diperhalusi serta dibincangkan di peringkat tertinggi kementerian,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang ingin tahu mengapa masih ada kementerian, agensi atau jabatan kerajaan yang tidak meneruskan pembayaran elaun latihan industri daripada RM300 kepada RM900 seperti yang ditetapkan Kabinet pada 2019.

Pada masa sama, katanya Kementerian Sumber Manusia melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah melaksanakan Skim Latihan Industri yang diperkenalkan dengan tujuan untuk membolehkan majikan mendapat bantuan kewangan sekiranya ingin mengambil pelajar untuk mengikuti latihan industri di syarikat mereka.

Katanya, bantuan kewangan berbentuk elaun bulanan (maksimum RM500 sebulan) boleh dimohon menggunakan levi dan akan diberikan kepada pelatih sekurang-kurangnya antara dua hingga lapan bulan sepanjang tempoh latihan industri mereka.

"Pada 2022, PSMB telah meluluskan seramai 6,243 pelatih bagi skim tersebut dengan bantuan kewangan RM10.97 juta, manakala dari Januari hingga April 2023, seramai 3,787 pelatih telah menerima manfaat daripada bantuan kewangan RM7.42 juta.

"Pelaksaan insentif ini telah membantu pelajar dalam menjalani latihan industri dengan syarikat pelbagai industri dan seterusnya dapat melengkapkan dan mendedahkan mereka kepada alam pekerjaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan tabung insentif bagi membantu majikan mewujudkan peluang bersesuaian kepada pelajar pusat pengajian tinggi dalam melaksanakan tugasan latihan kerja dengan elaun yang berpatutan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!